Jalan Solungkoi Sudah Dibersihkan, Dakwaan Tidak Selamat Digunakan Tidak Tepat – Bonaventure

Jalan Solungkoi Sudah Dibersihkan, Dakwaan Tidak Selamat Digunakan Tidak Tepat – Bonaventure

0
SHARE

TAMPARULI: Kerja-kerja pembersihan di Jalan Solungkoi (Tamparuli Low Level Crossing Bridge) telah dilaksanakan susulan aliran air deras baru-baru ini, sekali gus menjelaskan keadaan sebenar laluan berkenaan selepas tular dakwaan bahawa ia tidak selamat digunakan.

Setiausaha Politik Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, Bonaventure Boniface berkata, dakwaan yang tersebar menerusi mesej suara di aplikasi WhatsApp itu adalah tidak tepat.

Beliau menjelaskan, keadaan jalan berkenaan sebelum ini agak kotor akibat aliran air deras, namun pihak Globinaco telah mengambil tindakan dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat.

“Untuk makluman, keadaan jalan berkenaan sebelum ini agak kotor berikutan aliran air deras yang berlaku baru-baru ini.

“Walau bagaimanapun, pihak Globinaco telah pun mengambil tindakan dengan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan rasmi pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan.

“Orang ramai diminta agar tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan serta sentiasa merujuk kepada sumber yang sahih bagi mendapatkan maklumat terkini,” katanya.