KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak sepatutnya dijadikan modal politik untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan 12 daripada 16 perkara yang telah dimuktamadkan diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, kritikan terhadap kerajaan perlu berasaskan fakta dan bukannya sangkaan yang menggambarkan seolah-olah tiada kemajuan dalam pelaksanaan tuntutan MA63.
Katanya, berdasarkan rekod pemantauan rasmi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), sebanyak 16 daripada 29 perkara yang dipantau telah diselesaikan sepenuhnya setakat Oktober 2026.
Daripada jumlah itu, 12 perkara atau 75 peratus diselesaikan di bawah Kerajaan MADANI bagi tempoh 2023 hingga 2026, manakala empat perkara diselesaikan pentadbiran terdahulu.
“Kita boleh terus menuntut hak 40 peratus, kita boleh mendesak penyelesaian baki perkara MA63. Kita juga boleh menegur kelemahan pelaksanaan pembangunan.
“Tetapi kita tidak boleh menafikan fakta bahawa 12 daripada 16 perkara MA63 dimuktamadkan di bawah Kerajaan MADANI,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mustapha berkata, tiga lagi perkara MA63 diselesaikan secara interim atau sebahagian, manakala 10 perkara masih dalam proses rundingan.
Antara pencapaian yang direkodkan termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri, penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta pengambilalihan MASWings yang kini menjadi AirBorneo.
Mengulas tuntutan 40 peratus hasil Sabah, beliau menegaskan pemberian khas interim RM1.5 bilion bukan penyelesaian muktamad hak berkenaan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah masih diteruskan bagi memuktamadkan mekanisme pelaksanaan, jumlah sebenar serta garis masa pembayaran.
Menurutnya, kadar pemberian khas interim kepada Sabah meningkat hampir 12 kali ganda daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM1.5 bilion pada 2026, dengan kadar sama diumumkan bagi 2027.
Beliau berkata, perbelanjaan keseluruhan Persekutuan kepada Sabah turut meningkat daripada RM13 bilion pada 2022 kepada peruntukan RM18.7 bilion bagi 2027, manakala Sarawak daripada RM10.2 bilion kepada RM16.2 bilion dalam tempoh sama.
Bagaimanapun, Mustapha mengakui peningkatan peruntukan perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan pembangunan yang lebih pantas dan berkesan, khususnya dalam menangani masalah jalan raya, bekalan air, elektrik serta kelewatan projek infrastruktur termasuk Lebuhraya Pan Borneo.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pengumuman berbilion ringgit jika hasilnya belum benar-benar dirasai rakyat,” katanya.
Beliau turut mengakui sumbangan pentadbiran terdahulu yang memulakan rundingan MA63 dan menegaskan Kerajaan MADANI meneruskan usaha berkenaan bagi memastikan kesinambungan penyelesaian tuntutan Sabah dan Sarawak.






