TAWAU, SABAH – Jabatan Penerangan Malaysia Negeri (JAPEN) Sabah mengadakan aktiviti turun padang bagi mempromosikan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Kampung Tanjung Batu Laut, Tawau.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata sistem PADU akan memudahkan pihak kerajaan menguruskan dan menyalurkan bantuan ataupun sumbangan kepada rakyat.
“Lawatan rumah ke rumah sebegini akan dapat memperjelas lebih terperinci secara bersemuka akan kelebihan, keistimewaan dan kepentingan sistem PADU kepada masyarakat.
“Aktiviti turun padang ini juga turut diadakan di seluruh cawangan Jabatan Penerangan Negeri Sabah dengan kerjasama bersama Jabatan Perangkaan bagi memastikan masyarakat cakna tentang PADU ini” katanya kepada media ketika mengadakan lawatan rumah ke rumah sekitar kampung terbabit.
Tambahnya usaha tersebut akan dibuat secara berterusan sambil dibantu oleh Komuniti Madani serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.
Sementara itu, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.71 Saharuddin Salleh turut menggesa agensi kerajaan agar memperbanyakkan program berkenaan untuk membantu lebih ramai masyarakat memahami PADU khususnya di luar bandar.
Antara yang hadir wakil Jabatan Perangkaan Tawau, Mohd Radiwan Abdullah, Pegawai Penerangan Daerah Azuary Abdul Azis, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ahli Jawatankuasa Komuniti Madani dan pemaju mukim. — JABATAN PENERANGAN SABAH