Jasa Yahya Lampong Sentiasa Dikenang – Hajiji, Armizan Zahir Ucapan Takziah

Jasa Yahya Lampong Sentiasa Dikenang – Hajiji, Armizan Zahir Ucapan Takziah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jasa dan sumbangan bekas Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Haji Yahya Lampong kepada rakyat serta pembangunan Sabah dan negara akan sentiasa disanjung dan dikenang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Allahyarham yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud telah memberikan sumbangan besar sepanjang penglibatannya dalam politik dan perkhidmatan kepada rakyat.

“Salam takziah diucapkan kepada YBhg Datin Faridah Haji Ibrahim serta keluarga atas pemergian suami yang dikasihi, Allahyarham Datuk Haji Yahya Lampong yang telah kembali ke rahmatullah hari ini.

“Sumbangan dan jasa bakti Allahyarham dalam kemajuan politik dan pembangunan Negeri Sabah dan Malaysia akan sentiasa disanjung dan tetap dikenang selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan serta saat sukar itu.

Beliau turut mengajak umat Islam mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan insan yang soleh.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh politik veteran Sabah yang banyak menabur jasa dan bakti kepada rakyat, negeri serta negara.

“Dukacita menerima perkhabaran kembalinya ke rahmatullah Datuk Haji Yahya Lampong, mantan Timbalan Menteri Persekutuan dan tokoh politik veteran Sabah.

“Allahyarham telah banyak menabur jasa dan bakti kepada rakyat, negeri Sabah serta negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” katanya.

Armizan turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar segala dosanya diampunkan, amal kebajikannya diterima serta rohnya ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman dan beramal soleh.