KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendapat perhatian bola sepak dunia apabila dikaitkan dengan bekas bintang Manchester United, Radamel Falcao.
Memetik satu laporan pada portal sukan Turki, spekulasi pasukan Juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu tersebar menerusi satu hantaran Fotomac di laman Twitter yang mendakwa JDT memohon dengan kelab Turki, Galatasaray untuk mendapatkan penyerang Colombia itu.
“Kelab paling popular di Malaysia, Johor memohon Galatasaray untuk (mendapatkan) Radamel Falcao,” tulis portal itu di Twitter.
“Presiden kelab itu, Tunku Ismail (Sultan Ibrahim), didakwa secara peribadi menguruskan perpindahan itu dan mahu membuat perpindahan terbesar dalam liga bola sepak Malaysia.”
Walau bagaimanapun, menurut sumber yang dipetik BH Online menyatakan sehingga kini belum ada pengesahan atau kenyataan rasmi daripada JDT mengenai spekulasi yang kini tersebar luas di media sosial itu.
Radamel Falcao, 35, antara pemain yang memiliki nama di Eropah dan pernah menyarung jersi beberapa pasukan besar termasuk Manchester United, Chelsea, Porto dan Atletico Madrid.