KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, membuat laporan polis hari ini berhubung ucapan tular Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, yang didakwa menyinggung perasaan masyarakat Kristian.
Menerusi hantaran di Facebook, Madius memaklumkan laporan dibuat sekitar jam 10 pagi, sebelum proses rakaman percakapannya selesai hampir jam 1 tengah hari.
Beliau turut berkongsi gambar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Saya juga mengambil maklum permohonan maaf daripada Datuk Noorazli Said.
“Pada ketika ini segala urusan siasatan dan tindakan lanjut diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, Madius membidas ucapan Noorazli pada Perhimpunan Agung UMNO yang mengaitkan kisah paderi dan biarawati dengan rujukan Mazmur 129 dalam kitab suci Kristian.
Beliau menegaskan kitab suci serta golongan agamawan tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka seksual, selain menggesa Noorazli menarik balik rujukan yang disifatkannya sebagai palsu itu dan memohon maaf secara terbuka tanpa syarat.
Sementara itu, Noorazli dilaporkan menyatakan kesediaan memohon maaf sekiranya ucapannya menyinggung perasaan penganut Kristian, sambil menjelaskan analogi tersebut tidak bertujuan menghina mana-mana agama.






