JKDM Sabah Rampas Rokok, Arak Seledup Lebih RM9 Juta Dalam Dua Hari

JKDM Sabah Rampas Rokok, Arak Seledup Lebih RM9 Juta Dalam Dua Hari

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas empat kontena berisi rokok dan minuman keras bernilai RM9 juta termasuk cukai yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui pelabuhan Tawau dan Kota Kinabalu.

Penolong Ketua Kastam Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, dalam kes pertama, dua kontena berisi minuman keras berjaya dirampas di Pelabuhan Tawau lebih kurang 7.20 malam Khamis lalu (13 Dis).

“Pasukan serbuan yang terdiri daripada Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) bertindak berdasarkan maklumat risikan.

“Hasil pemeriksaan awal telah menemui beberapa buah kontena yang dianggarkan mengandungi sejumlah 36,432 liter minuman keras jenis bir disyaki barang larangan dengan anggaran nilai harga RM 218,227 dan anggaran nilai duti serta cukai berjumlah RM 568,069,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehari selepas insiden, di Pelabuhan Sepanggar, dua lagi kontena disyaki berisi minuman keras dan rokok dirampas berdasarkan hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas pada lebih kurang 10.15 pagi.

“Pasukan serbuan yang terdiri daripada anggota di bawah Cawangan Siasatan Khas dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu menjumpai sebuah kontena dianggarkan mengandungi sejumlah 31,752 liter minuman keras jenis bir dengan anggaran nilai harga RM 104,781 dengan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM 466,278.

“Manakala sebuah lagi kontena yang dijumpai dianggarkan mengandungi sejumlah 10,300,000 rokok putih disyaki barang larangan dengan anggaran nilai harga RM824,000 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM 6,880,400,” katanya.

Menurut Mohd Nasir, modus operandi bagi kedua-dua kes adalah membuat pengikraran palsu dengan mengikrar dagangan import sebagai barangan lain bagi tujuan penyeludupan dan sekaligus mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, kesalahan pertama memperuntukkan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau seratus ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh kali ganda nilai barang atau lima ratus ribu ringgit mengikut mana-mana yang lebih besar, atau dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau.