Joey BPR Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Persembahan

Joey BPR Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Persembahan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan rock terkenal Bumiputra Rockers (BPR), Johari Mat Rozekhi atau lebih dikenali sebagai Joey, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi tadi.

Memetik laporan Harian Metro, berita pemergian penyanyi berusia 63 tahun itu disahkan isterinya, Zarinah Zainal menerusi mesej WhatsApp.

Menurut Zarinah, suaminya menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.11 pagi, hari ini.

Assalamualaikum w.b.t. Saya, isteri kepada Johari Mat Rozekhi (Joey BPR) ingin memberitahu bahawa Johari telah kembali ke rahmatullah pada 29 Ogos 2026, 8.11 pagi di hospital HKL sebentar tadi.

“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Zarinah berkata, Joey sebelum itu mengadakan persembahan di Laman Santai, Istana Budaya, malam tadi dan sempat menyampaikan dua lagu sebelum rebah.

Penyanyi berkenaan kemudiannya dikejarkan ke HKL dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, pemeriksaan doktor mendapati Joey mengalami pendarahan selain komplikasi jantung tersumbat.

“Sampai di hospital doktor sahkan ada pendarahan. Dia juga ada komplikasi jantung tersumbat.

“Benda berlaku terlalu cepat. Joey sangat baik orangnya. Saya bertuah dapat dia.

“Harap sedekahkan al-Fatihah buatnya,” katanya.

Joey dikenali sebagai vokalis Bumiputra Rockers, antara kumpulan rock tempatan yang mencipta nama dalam industri muzik tanah air.