Juara Ratu Serimpak 2024 Diumum Hari Ini

Juara Ratu Serimpak 2024 Diumum Hari Ini

0
SHARE
Serimpak
Enam finalis Ratu Serimpak yang terpilih ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Keputusan Juara Ratu Serimpak 2024 akan diumumkan pada kemuncak Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, hari ini.

Keputusan akan menentukan nasib enam finalis iaitu Siti Yunisah Mohd Ruzaleh mewakili Daerah Tuaran, Nurul Hayati (Kota Belud), Lisa Abd Latif (Beluran), Nur Sharmayza Hanim Samsuddin (Lahad Datu), Baslizatun Asania Alli (Papar) dan Nor Anisah Napurun (Tenghilan) .

Dalam Pertandingan Ratu Serimpak 2024 yang berlangsung di Pentas Terbuka Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah malam tadi, daripada 16 peserta, enam finalis berjaya mara ke pusingan penentuan bagi merebut gelaran Ratu Serimpak 2024.

Pemenang pertandingan Ratu Serimpak bakal menerima wang tunai RM3,500 dan sijil, naib juara pula memenangi RM2,500 berserta sijil manakala, tempat ketiga menerima RM1,500 berserta sijil dan ketiga-tiga pemenang akan menerima tajaan pengajian bernilai sehingga RM42 ribu daripada Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF).

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah (PRBSS), Datuk Musbah Jamli berharap pertandingan berkenaan dapat memupuk semangat cinta seni budaya di samping memartabatkan busana tradisional suku kaum terbabit.

Dalam ucapan ketika merasmikan pertandingan itu beliau menggesa agar semua pihak memikul tanggungjawab untuk mempertahan dan mengekalkan tradisi, adat, seni dan budaya Bajausama yang menjadi identiti dan lambang perpaduan.

Hadir sama, Pengerusi Pertandingan Ratu Serimpak 2024, Muhd Arziz Afizy Rumsani, Setiausaha Agung Persatuan Rumpun Bajausama Negeri Sabah, Datuk Abdul Kassim Razali dan Ketua Polis Daerah Tuaran, Supt Noraidin Ag. Maidin. — JABATAN PENERANGAN SABAH