KOTA KINABALU, SABAH – Junz Wong harus bersikap lebih jujur dan matang sebagai pemimpin, demikian kata Khairul Firdaus Akbar Khan dalam satu kenyataan hari ini, Khamis.
Hal itu terbit bila Naib Presiden Parti Warisan tersebut mengeluarkan sebuah kenyataan kelmarin di profil Facebook miliknya yang mendakwa peruntukkan ADUN-ADUN pembangkang telah ditarik balik dan diberikan kepada Ketua-Ketua Bahagian BERSATU.
Khairul yang merupakan Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah berkata kenyataan tersebut berniat jahat dan cuba mewujudkan keadaan negatif di dalam pentadbiran negeri Sabah.
“Sebagai seorang Wakil Rakyat, Junz harus matang dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan. Setiap ayat yang dilontarkan itu mencerminkan jenis kepimpinan sendiri…
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) cukup memahami dan mendalami masalah-masalah rakyat Sabah ketika mengharungi pandemik COVID-19 ini dan terbukti dengan pelbagai bantuan yang telah disalurkan dan yang akan terus disalurkan,” kata Khairul.

Khairul mengingatkan Junz Wong akan peruntukkan RM 100,00 kepada setiap ADUN pembangkang beberapa bulan lalu bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.
“Kerajaan Warisan sewaktu menerajui kerajaan Sabah tidak pernah memberikan sebarang peruntukkan kepada ADUN-ADUN pembangkang untuk disalurkan ke kawasan masing-masing…
“Sebagai seorang wakil rakyat yang mencintai negeri Sabah, seharusnya dia bersama-sama membantu untuk membangunkan masyarakat dan negeri Sabah, bukannya menjadi tukang cerita karut dan tidak berfaedah,” ulas beliau.