
RANAU, SABAH – Pemandu sebuah van mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat tersepit selepas bertembung dengan lori treler di Jalan Kinabalu Park, Kundasang, semalam.
Sepasukan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ranau bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan 2.23 petang itu.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, jarak 20km Balai ke lokasi memakan masa 30 minit.
Katanya, terdapat sembilan orang mangsa yang terlibat.
“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah Lori Treler membawa muatan tiang konkrit dan sebuah Nissan Urvan.
“Seramai 8 orang mangsa berada di dalam van.
“Pemandu lelaki berusia 41 tahun ya g dalam keadaan tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan ‘Hydraulic Power Unit’ manakala 7 orang penumpang perempuan selamat.
“Pemandu lori treler, seorang lelaki berusia 63 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata seorang jurucakap bagi agensi melalui kenyataan media.
Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Ranau menggunakan Ambulans pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.