
KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 82 kakitangan University College Sabah Foundation (UCSF) mahukan Naib Canselor Dr Mohamed Haleem Mohamed Razi meletak jawatan.
Kesemua mereka telah menandatangani petisyen untuk mendesak Dr Mohamed bagi mengundur diri atas dakwaan gagal menguruskan institut berkenaan.
Kumpulan itu juga menuntut peletakan jawatan Pemangku Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Korporat dan Perniagaan) Dr Alan Lim Vui Tze dan Ketua Lembaga Pengarah, Datuk KY Mustafa kerana penglibatan mereka dalam kontroversi pemotongan gaji sejak tahun 2020.
Difahamkan, kakitangan yang terlibat telah membawa masalah ini ke Mahkamah Buruh tahun ini dan kemudian menang pada bulan Julai.
Mahkamah memutuskan bahawa UCSF mesti membayar mereka sejumlah RM94,709.35 iaitu gaji terkumpul yang dipotong antara Oktober dan Disember tahun lalu.
Namun, keadaan pekerja yang terlibat ditambah rumit selepas UCSF mengambil keputusan untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Seorang Juruteknik di universiti tersebut, Marwan Masran (bergaji RM1,200 sebulan), mengatakan masalah itu bukan sahaja mempengaruhi kewangan kakitangan tetapi juga kesihatan mental mereka.
“Majikan kami telah membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi. Ini telah menjejaskan kesihatan mental kami kerana sekarang terpaksa membayar yuran undang-undang…
“Sebilangan besar pekerja yang terlibat tidak dapat membayar yuran itu,” katanya kepada The Borneo Post, Sabtu baru-baru ini.
Walaupun gaji penuh kakitangan dikembalikan semula pada Mac tahun ini, Marwan berkata kakitangan UCSF masih dibebani hutang terkumpul semasa gaji mereka dipotong bermula Oktober 2020.
“Sejak Dr Mohamed tiba di UCSF, kebajikan kakitangan dan pelajar tidak dijaga. Tiada perkembangan yang dapat dilihat tapi sebaliknya kami mengalami kemunduran,” rintihnya.
Dia turut berkata bahawa kakitangan juga kehilangan faedah perubatan (medical benefits) mereka sejak 2018.
“Mereka (majikan) tidak pernah bertanya tentang kebajikan kami…
“Kami telah membawa isu ini ke Yayasan Sabah tetapi kami masih belum melihat tindakan yang diambil dari pihak mereka,” kata Marwan selain meminta bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli politik Sabah.
Dia juga mengatakan bahawa universiti telah memberhentikan beberapa kakitangannya sejak tahun 2020.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Sabah (MTUC) juga mendesak kerajaan negeri untuk mencampur tangan dalam pertikaian gaji antara pekerja dan kolej universiti ini.
Setiausahanya, Catherine Jikunan, yang mewakili kumpulan itu dalam sidang mahkamah, kecewa dengan keputusan UCSF untuk memanjangkan penderitaan pekerja dengan membawa kes itu ke makhamah tinggi.
“Kebanyakan mereka berada dalam golongan berpendapatan rendah B40. Ada yang hanya memperoleh gaji minimum RM1,200 sebulan dan tidak akan mempunyai dana untuk mengupah peguam…
“Saya meminta kerajaan negeri untuk campur tangan dalam masalah ini dan mengarahkan UCSF untuk membayar jumlah yang ditetapkan makhamah buruh,” katanya.
Catherine juga mendesak UCSF untuk mempertimbangkan keputusan mereka dan menyelesaikan masalah itu seperti yang diarahkan makhamah.