KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, meluahkan rasa dukacita atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sambil mengenang pertemuan terakhir mereka yang dipenuhi gelak tawa, cerita dan nasihat tentang kehidupan berkeluarga.
Dalam hantaran Facebook hari ini, beliau berkata tiada apa-apa pada hari pertemuan itu yang membuatkannya berasa seolah-olah mereka sedang mengucapkan selamat tinggal.
“Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, saya berharap dua jam itu dapat berlangsung selama-lamanya,” katanya.
Menurut Syed Saddiq, Allahyarhamah sempat ketawa dan bergurau bersama beliau serta Bella Astillah, selain berkongsi nasihat mengenai perkahwinan, keluarga dan kehidupan.
“Tun seorang yang baik hati, lucu dan mesra. Tun memiliki kebijaksanaan yang lahir daripada pengalaman hidup penuh kasih sayang dan pengorbanan,” katanya.
Syed Saddiq mengakui masih sukar menerima berita pemergian Allahyarhamah. Beliau turut berterima kasih atas kenangan terakhir yang diberikan kepada dirinya dan Bella.
Katanya, beliau dan Bella tidak dapat memenuhi hasrat Allahyarham untuk hadir ke majlis perkahwinan mereka kelak. Bagaimanapun, beliau berjanji akan membawa nasihat Allahyarham ke dalam kehidupan rumah tangga mereka.
“Kami akan membawa nasihat itu ke dalam perkahwinan dan rumah tangga kami, insya-Allah, sepanjang hayat,” katanya sambil mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di syurga tertinggi.
Tun Dr Siti Hasmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pagi ini pada usia 100 tahun.
Pemergiannya disahkan oleh anak mereka, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Allahyarhamah meninggalkan tujuh orang anak dan dikenang atas sumbangannya dalam bidang perubatan, kesihatan ibu dan anak serta kerja kebajikan masyarakat.






