Kami Hanya Tuntut Hak Sepatutnya, Tidak Lebih Dari Itu – Azrul

Kami Hanya Tuntut Hak Sepatutnya, Tidak Lebih Dari Itu – Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim menegaskan bahawa tuntutan Sabah dan Sarawak berhubung hak kewangan dan hasil negeri bukanlah sesuatu yang baharu atau berlebihan, sebaliknya hak yang sewajarnya diperoleh selaras dengan semangat pembentukan Persekutuan.

Beliau berkata, kebimbangan sesetengah pihak bahawa tuntutan berkenaan boleh memberi kesan kepada kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan wajar dihormati, namun perbahasan itu perlu dilihat dalam kerangka yang adil dan berprinsip.

“Apa yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak bukanlah sesuatu yang baharu, bukan juga suatu tuntutan berlebihan. Ia adalah hak yang sewajarnya diperoleh seperti yang termaktub dalam semangat pembentukan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu, isu yang dibangkitkan melibatkan hak Sabah terhadap pemberian khas Persekutuan serta pendirian Sarawak berhubung kesahihan perlembagaan dan keberterusan pemakaian undang-undang berkaitan petroleum.

Secara matematik, katanya, sebarang pelarasan yang memihak kepada hak negeri sememangnya memberi implikasi kepada jumlah hasil Persekutuan, namun persoalan asas ialah sama ada pertimbangan fiskal harus terus dijadikan alasan untuk menangguhkan hak yang telah sekian lama tertangguh.

Azrul berkata, selepas lebih lima dekad, jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak berbanding negeri-negeri di Semenanjung masih ketara, khususnya melibatkan isu bekalan air bersih, elektrik dan jaringan jalan raya terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Masih terdapat kampung yang tidak dapat diakses melalui jalan darat, sistem perhubungan antara daerah yang belum tersusun secara menyeluruh serta capaian internet yang jauh ketinggalan. Jajaran lebuh raya Pan Borneo pula hanya bermula sekitar tahun 2017, sedangkan negeri-negeri di Semenanjung telah lama menikmati sistem perhubungan fizikal bertaraf moden,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan yang tidak mencukupi memburukkan lagi keadaan apabila keperluan sebenar jauh melebihi jumlah yang diluluskan.

Dalam pada itu, Azrul mengakui usaha dan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu pembangunan, namun secara jujur menyifatkan langkah tersebut masih belum mencukupi untuk menyelesaikan masalah secara menyeluruh dan tuntas.

“Sabah memerlukan suntikan dana yang lebih besar dan fleksibiliti pentadbiran yang lebih luas untuk mengurus serta menyelesaikan masalah legasi yang berlarutan sekian lama. Ini bukan soal retorik politik, tetapi soal tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.

Beliau menambah, pembangunan Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat sebagai beban fiskal, sebaliknya sebagai pelaburan strategik untuk memperkukuh kekuatan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Andai Kota Kinabalu dan Kuching membangun dengan sistem pengangkutan moden, infrastruktur bertaraf dunia dan mercu tanda ekonomi yang signifikan, manfaatnya bukan hanya kepada negeri-negeri di Borneo, tetapi kepada Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Tegasnya, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak tidak pernah berniat untuk melemahkan kedudukan kewangan Persekutuan, sebaliknya percaya terdapat formula yang lebih adil dan pragmatik boleh direncanakan melalui rundingan matang serta semangat federalisme yang tulen.

“Kita tidak meminta lebih daripada yang sewajarnya. Kita hanya menuntut hak yang telah lama menjadi asas kepada penyertaan kita dalam Persekutuan,” katanya.