Kanak-kanak Autisme Rentung Dalam Kebakaran 30 Rumah Di Kg Sentosa Tawau

Kanak-kanak Autisme Rentung Dalam Kebakaran 30 Rumah Di Kg Sentosa Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran besar yang memusnahkan 30 rumah di Kampung Sentosa, Jalan Utara Baru Hilltop, di sini, hari ini.

Mangsa ditemukan pasukan bomba pada kira-kira jam 10 pagi di bahagian bilik tidur rumahnya sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 6.44 pagi sebelum jentera bersama anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba tiba pada jam 6.47 pagi, kira-kira tiga minit selepas menerima panggilan, dan mendapati kebakaran membabitkan enam rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal sebelum api merebak dengan cepat.

“Operasi pemadaman segera dijalankan dengan bantuan Bomba Komuniti Kampung Titingan serta beberapa agensi lain bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 8 pagi dengan perkembangan terkini menunjukkan sebanyak 30 rumah musnah sepenuhnya, manakala kira-kira 250 rumah berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil, manakala anggaran keseluruhan kawasan yang terbakar adalah kira-kira 557 x 196 kaki persegi.

Katanya, mangsa yang ditemukan di dalam bilik tidur rumahnya kemudian diserahkan kepada pihak Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi pemadaman dan kerja-kerja pemeriksaan serta pemulihan (overhaul) diteruskan bagi memastikan tiada lagi bara api yang berpotensi menyebabkan kebakaran berulang.

Seramai 48 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan pelbagai agensi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), KKM, Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity serta Bomba Komuniti Kampung Titingan.

Operasi yang bermula pada jam 6.44 pagi itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.