Kanak-kanak Berdepan Konflik Undang-Undang Perlu Diurus Dengan Perundangan Sedia Ada – KPWKM

Kanak-kanak Berdepan Konflik Undang-Undang Perlu Diurus Dengan Perundangan Sedia Ada – KPWKM

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak yang berdepan konflik undang-undang perlu diurus dengan peraturan dan perundangan sedia ada seperti Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Merujuk laporan mengenai kes penahanan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai menikam bayinya yang baru dilahirkan pada Selasa lepas (8 Feb), KPWKM yang dipetik Bernama memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil tindakan serta-merta dengan memberikan intervensi yang bersesuaian secara holistik menggunakan pendekatan psikososial demi kebajikan kanak-kanak tersebut.

“Sepanjang kanak-kanak tersebut berada di dalam tahanan polis, sama ada di lokap atau hospital, JKM melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) telah membuat lawatan dan menyalurkan bantuan yang bersesuaian termasuk perkhidmatan psikologi…

“Ibu kanak-kanak tersebut juga telah diberi kaunseling dan intervensi awal bagi memastikan kestabilan emosi keluarga dalam menghadapi situasi mencabar ini,” menurut KPWKM dalam kenyataan malam tadi.

Dalam kejadian berkenaan, bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan, ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di dada dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam, di sebuah rumah di Felcra Seri Bandi, di Kemaman, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan dilaporkan berkata bayi itu dilahirkan oleh seorang remaja berusia 15 tahun di rumahnya, dipercayai dengan bantuan seorang rakan yang kemudiannya bergegas untuk memaklumkan kelahiran bayi itu kepada klinik berdekatan.

Remaja 15 tahun didakwa mahkamah kerana membunuh bayi sendiri…

Mengulas lanjut, KPWKM memaklumkan pendekatan holistik melalui pendidikan seksual reproduktif, kesedaran dan kaunseling serta khidmat nasihat untuk wanita yang sedang menjalani kehamilan yang tidak diingini perlu dipertingkat bagi mengelak hal yang sama berulang.

Menurut KPWKM, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menyediakan peti pelindung bayi bagi mengelak kes pembuangan bayi dan pada masa sama bayi yang telah dibuang oleh ibu bapa akan mendapat hak penjagaan keluarga serta kasih sayang melalui permohonan anak pelihara.

Selain itu, kementerian melalui JKM turut menyediakan perkhidmatan perlindungan segera di empat Taman Seri Puteri (TSP) bagi kanak-kanak bawah 18 tahun dan tiga Pusat Jagaan Sinar Kasih bagi memberi jagaan dan perlindungan segera kepada wanita hamil luar nikah termasuk bayi yang dilahirkan.

KPWKM menyeru rakyat Malaysia terus menanam rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak sebagai satu amanah serta anugerah daripada Tuhan.

Atas semangat Keluarga Malaysia, KPWKM berharap masyarakat menjadi ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan dan memupuk sikap ambil peduli kepada masalah kejiranan setempat agar dapat terus melaporkan sebarang kecurigaan yang berlaku di kawasan kediaman masing-masing kepada pihak berkuasa.

“Rakyat juga diseru untuk melaporkan terus sebarang kejadian sebegini ke Talian Kasih 15999 dan Talian WhatsApp 019-2615 999 yang beroperasi 24 jam. Orang awam juga boleh membuat laporan di 108 PKMD di seluruh negara atau balai polis berdekatan,” menurut kenyataan itu