
KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (KDMRS) giat melaksanakan aktiviti kebajikan dan pendidikan khususnya kepada saudara baru yang memerlukan bimbingan.
Ketua Jabatan Hubungan Strategik KDMRS, Nur Alya Humaira Usun Abdullah berkata, pertubuhan yang ditubuhkan secara rasminya pada 8 Januari 2018 itu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan bagi mengelakkan salah faham agama demi melahirkan masyarakat yang harmoni.
“Pelbagai program dilakukan untuk menyampaikan mesej kesejagatan Islam kepada semua komuniti dan mewujudkan budaya perkongsian tentang keindahan Islam agar dapat memperjelaskan salah faham yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Memandangkan pertubuhan ini berteraskan kepada masyarakat, kami ingin menjadi medium perhubungan pelbagai komuniti agama dan etnik khususnya di Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor.
Alya juga memaklumkan KDMRS akan mengadakan program Grand Iftar dan pelancaran Al-Quran yang diterjemahkan ke bahasa Dusun yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 31 Mac 2024.
“Selain itu, pada bulan Ramadhan kelak KDMRS akan mengadakan beberapa aktiviti dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan beberapa pertubuhan lain.
“Pada tahun ini juga, KDMRS akan berkolaborasi dengan beberapa agensi dan pertubuhan dakwah lain dalam menganjurkan Konvensyen Dakwah NGO Madani Sabah selain Konvensyen Dakwah Borneo di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Di samping itu pada bulan Mei, KDMRS akan mengadakan Tadau Kaamatan Harmoni yang merupakan aktiviti tahunan pertubuhan ini,” ujarnya lagi.
KDMRS mempunyai cawangan di seluruh Sabah dan telah membuka beberapa cawangan di Semenanjung Malaysia dengan keahlian berjumlah lebih 5,000 orang. — JABATAN PENERANGAN SABAH