KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kedudukan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang masih dalam kabinet negeri Sabah bakal diketahui tidak lama lagi.
Katanya, beliau kini mahu memberi tumpuan perkara berkaitan kepentingan negeri disamping menjelaskan memerlukan ruang untuk berfikir dalam mentabdir Sabah.
Menjawab soalan pemberita berkenaan status menteri dari kalangan ADUN UMNO yang didakwa menyokong gerakan menggulingkan kerajaan negeri, baru-baru ini, Hajiji menjelaskan tindakan bakal diambil terhadap mereka.
“Bagi saya ruang untuk berfikir bagaimana kita mentadbir negeri ini dengan baik dan sebagainya. Bagi saya, kita perlu lihat segala aspek dalam soal seumpama ini…
“Jadi, jangan bimbang. Kita akan ambil tindakan yang sepatutnya. Apa yang penting ialah kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-2 Universiti College Sabah Foundation (UCSF) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu turut diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang menyatakan pergolakan politik di Sabah masih belum selesai.
“Ya, itu dia. Dialah punya cerita,” katanya.
Disamping itu, Hajiji juga turut memberitahu pihaknha telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rombakan kabinet baharu Sabah.