Kekurangan Pembiyaan Kesihatan Awam Negera Pada Tahap Kronik

Kekurangan Pembiyaan Kesihatan Awam Negera Pada Tahap Kronik

0
SHARE
Khairy Jamaluddin...

KUALA LUMPUR – Pelaburan bagi perbelanjaan kesihatan awam negara berada pada tahap kurang optimum, biarpun Malaysia adalah negara berpendapatan sederhana tinggi, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Khairy menyifatkan kekurangan pembiayaan berkenaan disifatkan sebagai kronik, ini kerana pembiayaan bagi sistem itu berada pada tahap rendah, iaitu 2.58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020.

Beliau berkata, kadar itu juga lebih rendah berbanding tanda aras bagi negara berpendapatan sederhana tinggi yang lain, iaitu sekurang-kurang empat peratus daripada KDNK, lapor Berita Harian.

“Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2018, di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital kerajaan, masalah kekurangan kakitangan dan dana, kesesakan akibat beban pesakit yang tinggi serta peralatan tidak mencukupi, ialah antara perkara menyebabkan perkhidmatan kesihatan tidak dapat disediakan dengan baik.

“Kekurangan ini bukanlah perkara terpencil kepada Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital sahaja, namun ia reflektif kepada keseluruhan fasiliti kesihatan kerajaan merangkumi klinik serta hospital.

“Justeru, pembiayaan dan peruntukan kesihatan awam akan menjadi perkara sangat penting untuk dibincang, diputus serta dibentangkan dalam Kertas Putih kelak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai sama ada isu kekurangan peruntukan akan dimasukkan ke dalam Kertas Putih Kesihatan.

Menjawab soalan asal Hon Wai berhubung skop Kertas Putih Kesihatan pula, Khairy menjelaskan, penyediaannya bertujuan memperkukuh sistem kesihatan negara secara menyeluruh supaya lebih saksama, berkualiti tinggi, mudah diakses dengan kos berpatutan, dan mampan bagi jangka panjang.

Katanya, usaha pengukuhan itu penting bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat, selari status Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan untuk masa depan.

Beliau berkata, semua usaha itu akan membabitkan pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’ bagi menggembleng tindakan pelbagai pihak dalam memastikan kesihatan rakyat adalah lebih baik.

“Kertas Putih Kesihatan adalah ikhtiar kementerian untuk membuka hujah dan perbincangan bersama rakyat serta pihak berkepentingan mengenai sistem kesihatan negara yang memerlukan penambahbaikan mampan.

“Ia adalah dokumen rasmi kerajaan yang akan menggariskan status semasa, jurang dan kekangan dihadapi, selain mengemukakan cadangan penyelesaian secara berfasa dari segi reformasi penyampaian perkhidmatan, pembiayaan, tadbir urus serta organisasi merangkumi tempoh 15 tahun.

“Penyediaan Kertas Putih Kesihatan ini akan mengambil kira hasil dan syor pelbagai kajian sistem kesihatan sudah dilaksanakan serta pandangan pihak berkepentingan termasuk rakyat melalui sesi libat urus, selain ia dijangka dibentangkan di Parlimen pada November depan,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya memutuskan proses berkenaan perlu dibawa ke Dewan Rakyat agar mendapat konsensus bipartisan, sekali gus menjadi dokumen, hala tuju, ikhtiar dan aspirasi yang dikongsi bersama kerajaan dan pembangkang.

Beliau juga mencadangkan dokumen itu dilaporkan kepada Kabinet dan Jawatankuasa Khas Parlimen agar sasaran dicapai mengikut perancangan ketika penyediaannya.

“Bagi memastikan Kertas Putih dan cadangan reformasi sistem kesihatan awam kalis masa depan, tidak kiralah sesiapa pun menyandang jawatan Menteri Kesihatan, perubahan kepada sistem kesihatan awam mesti diteruskan.

“Tidak kiralah kerajaan atau menteri mana yang duduk di kerusi ini, tetapi ia (Kertas Putih Kesihatan) akan menjadi ikhtiar bersama,” katanya menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (PBM-Tebrau) mengenai jaminan ketetapan Kertas Putih diteruskan walaupun berlaku perubahan kerajaan.