Kerajaan Dicadang Warta Kawasan Rumbia 500 Ekar, Jelapang Padi 5,000 Ekar di...

Kerajaan Dicadang Warta Kawasan Rumbia 500 Ekar, Jelapang Padi 5,000 Ekar di Beaufort

0
SHARE

BEAUFORT: Kerajaan negeri dicadang mewartakan kira-kira 500 ekar kawasan di Kampung Indomadi sebagai Kawasan Rumbia, manakala 5,000 ekar lagi dari sempadan kampung itu hingga Padas Damit sebagai kawasan jelapang padi dalam usaha memperkukuh sektor pertanian dan keterjaminan makanan di Sabah.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, cadangan itu dibuat selepas beliau mengadakan lawatan kerja ke kawasan berkenaan pagi pada Rabu lalu.

Menurutnya, hasil tinjauan mendapati kawasan yang dicadangkan sebagai Kawasan Rumbia mempunyai lebih 10,000 pokok rumbia matang dan berpotensi dibangunkan sebagai pusat pengeluaran sagu serta pelbagai produk hiliran bernilai ekonomi.

Beliau berkata, pewartaan kawasan itu penting bagi memastikan khazanah rumbia terus dipelihara daripada ancaman pembangunan yang boleh menyebabkan sumber berkenaan semakin berkurangan.

Selain menyumbang kepada keterjaminan makanan, katanya, pembangunan kawasan rumbia secara tersusun mampu merancakkan industri pemprosesan, menghasilkan produk bernilai tambah serta membuka peluang memasarkan produk berasaskan rumbia ke pasaran lebih luas termasuk antarabangsa.

Ruslan turut mencadangkan kawasan yang masih kosong ditanam semula dengan pokok rumbia selain berpotensi dibangunkan sebagai destinasi agropelancongan yang membolehkan pengunjung melihat sendiri proses penghasilan sagu dan produk hiliran berasaskan rumbia.

Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau kawasan dari sempadan Kampung Indomadi hingga Padas Damit yang dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan jelapang padi seluas kira-kira 5,000 ekar.

Ruslan berkata, kawasan berkenaan mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi berskala besar menggunakan teknologi moden, sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran beras dan memperkukuh keterjaminan makanan di Sabah.

Katanya, sekiranya perancangan itu dapat direalisasikan, pembangunan kawasan berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pertanian, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta merancakkan pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik.

“Saya yakin dengan kerjasama erat antara Pejabat Daerah Beaufort, jabatan-jabatan berkaitan, pemimpin kampung dan masyarakat setempat, usaha ini mampu direalisasikan demi memelihara khazanah rumbia, memperkasa sektor pertanian serta membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat Beaufort dan Lumadan,” katanya.