Kerajaan Negeri Harap PKMM Sabah Terajui Kemajuan Industri

Kerajaan Negeri Harap PKMM Sabah Terajui Kemajuan Industri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Sabah dapat memainkan peranan lebih besar dalam memacu industri pembinaan, sekali gus menjadi pemangkin kemajuan di negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, persatuan itu diharap bukan sahaja memberi dorongan kepada ahli-ahlinya, tetapi juga melaksanakan projek pembinaan yang diamanahkan dengan lebih baik dan berdaya saing.

“Walaupun mereka sudah melaksanakan tugas dengan baik, prestasi masih boleh ditingkatkan lagi, khususnya demi pembangunan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Negeri Sabah Kali Ke-26, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Yang Dipertua PKMM Negeri Sabah, Mohd Nasruddin Datuk Dr Mohd Yaakub berkata mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada agenda pembaharuan sektor pembinaan termasuk pendigitalan dan diversifikasi bidang fokus.

“Kami mahu ahli-ahli persatuan diperkasa supaya dapat menyumbang lebih banyak kepada pembangunan negeri Sabah,” katanya.

Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz pula berkata persatuan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pusat bagi mengelakkan masalah dalam pelaksanaan projek.

Beliau turut mengakui kenaikan harga bahan binaan yang mendadak menjadi cabaran utama ketika ini, dan pihaknya telah mengadakan perbincangan awal dengan kerajaan bagi menyemak semula jadual kadar kerja.

“Kita mahu wujudkan situasi menang-menang, di mana kerajaan dapat menyiapkan projek yang dirancang, manakala kontraktor berpeluang melaksanakan projek dengan jayanya,” katanya.