KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus mempertingkat jalinan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memacu kecemerlangan pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan yang berilmu, berkualiti dan berdaya saing.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu meningkatkan prasarana pendidikan dan kebajikan warga sekolah di seluruh negeri.
“Ini adalah komitmen kita bagi memastikan pendidikan kekal sebagai pemangkin utama kemajuan negeri,” katanya pada majlis Konvensyen Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Negeri Sabah dan Labuan ke-50 di Hotel Klagan Regency, 1Borneo Hypermall dekat sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
“Malah, Kerajaan Negeri sendiri menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif pendidikan bagi memastikan tiada anak-anak Sabah tercicir daripada akses pendidikan tinggi akibat kekangan kewangan.
“Ini termasuklah meneruskan pelaksanaan sebanyak inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021-2025. Langkah ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga mereka,” katanya.
Mengucapkan syabas kepada Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) kerana menjayakan persidangan ini dengan cemerlang, Ketua Menteri berkata beliau amat menyokong usaha murni PPSMS yang menjadikan persidangan ini sebagai wadah utama untuk melahirkan pemimpin organisasi yang sentiasa peka terhadap dinamika dunia pendidikan semasa.
“Kita sedia maklum bahawa kepimpinan pengetua ialah faktor penentu utama kejayaan dasar transformasi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia. Perkongsian ilmu dan sinergi sebeginilah yang menjadi daya penggerak bagi memastikan kualiti pendidikan kita terus memuncak cemerlang.
“Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada para pengetua atas usaha menoktahkan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) daripada angka 5 kepada angka 4 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
“Begitu juga dengan peningkatan Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) 2025. Kejayaan mencatatkan nilai GPN 4.85 ini merupakan pencapaian akademik terbaik dalam sejarah negeri Sabah setakat ini.
“Sesungguhnya, para pengetua dan guru-guru yang berjuang di lapangan merupakan nadi dan watak terpenting di sebalik setiap rantaian kejayaan ini,” katanya.
Beliau berkata tema persidangan kali ini, “Pengetua Pemacu Lonjakan Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035” merupakan seruan bertindak yang menuntut anjakan paradigma menyeluruh.
“Para pengetua bukan setakat pentadbir, tetapi juga arkitek utama kepada masa hadapan pendidikan negara. Dekad ini menuntut kita memimpin dengan visi yang berani. Kita perlu memacu inovasi digital, memperkukuh jati diri murid dan melahirkan modal insan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Menurut beliau, RPM 2026-2035 adalah lanjutan dasar yang menandakan tekad berterusan Kerajaan dalam memperkukuhkan sistem pendidikan negara agar ia kekal membangkitkan semangat zaman dan tuntutannya, serta bersifat terangkum.
RPM 2026-2035 digubal sebagai kompas strategik untuk memperkukuhkan sistem pendidikan negara agar kekal releven, berdaya saing dan berpaksikan kemanusiaan bagi menghadapi dekad yang penuh cabaran.
“Ia menjadi pernyataan hala tuju negara yang memungkinkan pendidikan sebagai hak yang asasi kepada semua, serta menjadi salah satu cabang untuk melonjak negara di bidang sosial dan ekonomi,” katanya.






