Kerajaan Negeri Susun Strategi Bantu Sekolah Terjejas Banjir

Kerajaan Negeri Susun Strategi Bantu Sekolah Terjejas Banjir

0
SHARE
Arifin
Pengetua SM St Michael Jennifer Asing (kanan) menunjukkan paras air banjir pada Ahad kepada Arifin

PENAMPANG, SABAH – Exco Pendidikan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin akan bersama menyusun strategi bagi membantu sekolah-sekolah yang terjejas banjir pada Ahad lalu.

“Kerajaan negeri akan mencari jalan untuk membantu terutama yang berada di Penampang. Ia akan sama ada datang daripada Kementerian atau sebaliknya,” kata Arifin, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah.

Beliau berkata demikian semasa lawatannya ke SM St Michael, di sini, bersama Raisin pada Selasa. Katanya, kebanyakkan peralatan dan perabot sekolah tersebut rosak akibat bencana itu.

“Kita akan mendapatkan jumlah perbelanjaan daripada sekolah-sekolah terjejas melalui Jabatan Pendidikan Negeri. Pengarahnya juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Tabung Pendidikan Negeri Sabah.

“Namun, saya akan bertindak atas arahan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor iaitu untuk memantau semua sekolah yang terjejas dan memberikan bantuan sebaik mungkin,” katanya.

Arifin dalam pada itu membayangkan pengwujudan alat pengesan awal banjir untuk sekolah-sekolah di Sabah.

“Ini adalah perkara yang saya perlu berbincang dengan Setiausaha Tetap KSTI kerana ia juga melibatkan kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri. Saya percaya program sebegini sudah wujud.

“Begitu juga dengan cadangan penubuhan pasukan petugas bagi menangani banjir di sekolah, ini akan dibincangkan lebih lanjut dengan Raisin,” katanya.

Arifin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah ketika lawatannya menyumbang RM5,000 kepada SM St Michael melalui Majlis Agama Islam Sabah (MUIS).

Tiga sekolah di Penampang masih ditutup untuk pembersihan pada Selasa. Mereka adalag SM St Michael, SK St Theresa dan SK Kibabaig melibatkan seramai 2297 murid.

Raisin manakala berkata jabatan itu komited untuk menyambung semula sesi persekolahan tetapi pada masa yang sama mengambil berat tentang kebajikan dan emosi guru terlibat.

“Sepasukan kaunselor digerakkan setiap hari untuk memeriksa guru-guru ini. Terdapat para guru sendiri yang turut menjadi mangsa banjir malah ada yang terkandas di rumah.

“Kaunseling diberikan untuk menenangkan emosi bagi menyediakan mereka kembali ke sekolah.

“Kami berterima kasih kepada pengetua seperti yang ada di SM St Michael kerana berjaya mewujudkan semangat kekitaan yang kukuh dalam kalangan penghuninya,” katanya.