TUARAN, SABAH – Kerajaan memperkasakan pelaksanaan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan pengurusan alam sekitar dan perancangan pembangunan dilaksanakan secara mampan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, beliau mengalu-alukan usaha dan inisiatif pelbagai pihak untuk bersama-sama mencapai aspirasi pembangunan mampan melalui kolaborasi yang mantap serta berterusan.
“Pelbagai isu alam sekitar secara global telah kita lihat seperti peningkatan suhu dunia atau pemanasan global, kehilangan biodiversiti, pencemaran dari pelbagai sumber seperti sisa toksik, sampah dan plastik, pencemaran udara, air dan tanah, peningkatan paras air laut dan banyak lagi.
“Akibatnya, pelbagai kemudaratan termasuklah bencana alam seperti cuaca ekstrem berlaku yang mana mengancam nyawa manusia serta mengakibatkan kemusnahan harta benda.
“Isu-isu ini juga memberi kesan terhadap sumber-sumber penting seperti sumber makanan dan air bersih terjejas,” katanya dalam Program Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di sini, pada Rabu.
Selain itu, menurut Christina penghasilan dan penggunaan Pelan Pengurusan Pesisir Pantai telah dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) dan agensi berkaitan untuk memastikan pembangunan di kawasan pesisir pantai turut dilaksanakan secara mampan.
“Kerajaan turut memperkenalkan environmental self-regulation (ESR) bagi meningkatkan kerjasama dan kolaborasi dengan pihak-pihak berkepentingan terlibat serta pelaksanaan program-program kesedaran alam sekitar kepada pelbagai kumpulan sasaran seperti Program Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) iaitu salah satu “flagship programme” kesedaran alam sekitar kita di Sabah,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk menyeimbangkan pembangunan, mempromosikan kefahaman dan perubahan sikap ke arah menangani pelbagai isu alam sekitar bagi memastikan masyarakat menikmati kesejahteraan.
“Isu pencemaran sungai, kekurangan air bersih dan kemarau boleh dikurangkan dengan melindungi sumbernya seperti sungai dan melaksanakan restorasi tanah seperti aktiviti penanaman pokok seperti yang dilaksanakan pada hari ini,” jelas beliau.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS), Murad Abdul Rashid.
Dalam program itu, pelbagai aktiviti dilaksanakan antaranya penanaman 210 batang pokok kelapa pandan dan pokok tabebuia rosea atau lebih dikenali sebagai pokok Sakura yang melibatkan 46 organisasi kerajaan serta bukan kerajaan di kawasan rizab sungai.
Pada 15 Disember 2022, JPAS dengan KKIP Sdn. Bhd. telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman untuk bersama-sama mengurus alam sekitar di kawasan Kota Kinabalu Industrial Park untuk melaksanakan program kesedaran alam sekitar dan pelbagai latihan. — JABATAN PENERANGAN SABAH