Kerajaan Putuskan PKP Seluruh Negara Sempena Aidilfitri 2021

Kerajaan Putuskan PKP Seluruh Negara Sempena Aidilfitri 2021

0
SHARE

PETALING JAYA – Kerajaan hari ini memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan larangan baharu berkaitan aktiviti Aidilfitiri berkuat kuasa Rabu (12 Mei) ini hingga 7 Jun.

Perkara itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan COVID-19 hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin…

Menurut Perdana Menteri, untuk itu larangan rentas daerah dan negeri dikuatkuasakan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun 2021 seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mei lalu.

Datuk Seri Ismail Sabri…

“Tarikh kuat kuasa bagi larangan-larangan dan arahan-arahan lain bermula pada 12 MEI hingga 7 JUN 2021. SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa Aidilfitri adalah tidak dibenarkan…

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

“Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat,” tambahnya lagi dalam kenyataan itu.

Walau bagaimanapun, bagi tempoh PKP itu semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Dalam pada masa yang sama, kenyataan Perdana Menteri memaklumkan bahawa majikan diwajibkan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus (30%) kakitangan pengurusan pada setiap masa.

Menurutnya lagi, ketetapan juga dikuatkuasakan terhadap larangan semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Semua institusi pendidikan ditutup. Pengecualian diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa. Pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.

“Dine-in di restoran dan kedai makan adalah tidak dibenarkan,” katanya lagi.

Perdana Menteri menegaskan dalam kenyataan itu bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan satu krisis nasional.

Katanya, kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat menuntut tindakan lebih drastik.

Muhyiddin berkata, tindakan sedemikian perlu bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.

“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei lalu, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional…

“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan trend kes-kes harian COVID-19 yang semakin meningkat itu, Kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.