KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperkukuh kerjasama dua hala dengan syarikat tenaga multinasional dari Amerika Syarikat, ConocoPhillips, melalui kunjungan hormat delegasi syarikat itu kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, pada Isnin, bagi membincangkan perkembangan semasa dan potensi kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas.
Delegasi yang diketuai Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn, membincangkan peluang kerjasama melibatkan operasi dan pelaburan syarikat di Sabah, termasuk peluasan projek huluan, pemerkasaan rantaian bekalan tempatan serta sumbangan kepada ekonomi negeri.
Dalam pertemuan itu, Datuk Seri Masidi menerima taklimat mengenai hala tuju dan perancangan ConocoPhillips, merangkumi aspek keselamatan operasi, pematuhan peraturan, kelestarian alam sekitar dan komitmen syarikat terhadap pembangunan industri tenaga yang mampan.
Beliau menegaskan kepentingan kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri dan pemain industri tenaga bagi memastikan sektor minyak dan gas terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta memberi manfaat berterusan kepada rakyat Sabah.
Kunjungan hormat itu mencerminkan hubungan baik antara Kerajaan Negeri Sabah dan ConocoPhillips serta komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik demi pembangunan sektor tenaga yang berdaya saing dan mampan.
Turut hadir ialah Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Kejuruteraan Pembangunan ConocoPhillips Malaysia, Ian Lim; Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat; Pengarah Eksekutif Upstream SMJ Energy, Datuk Albert Lo; serta Pengarah Eksekutif OGSE dan Korporat SMJ Energy, Terry Biusing.






