KOTA KINABALU, SABAH – Kapasiti pengeluaran simen kilang Cement Industries Sabah Sdn Bhd (CIS) terjejas 40 peratus daripada 2,400 tan sehari kepada 1,400 tan sehari kerana mengalami kerosakan jentera utama pada Oktober.
Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof dalam satu kenyataan berkata demikian merujuk kepada laporan di akhbar tempatan berhubung kekurangan bekalan simen ke pasaran Sabah.
“Kerja-kerja pembaikan mengambil masa sebulan untuk disiapkan dan operasi loji dijangka menyambung semula operasi biasa pada awal November.
“CIS telah meningkatkan penghantaran simen untuk menyelesaikan pesanan tertunggak.
“Bekalan juga terputus disebabkan oleh kelewatan dalam penghantaran bahan mentah dan penghantaran simen pukal akibat cuaca buruk di pelabuhan pemunggahan di Semenanjung Malaysia dan Vietnam,” katanya.
Sumardi berkata pihaknya akan meningkatkan pengeluaran dan penghantaran simen ke pasaran dengan membawa masuk lebih banyak bahan mentah dan penghantaran simen pukal.
Selain itu, beliau turut berkata pihaknya melanjutkan operasi penghantarannya termasuk Ahad dan cuti umum bagi memastikan semua keperluan simen negeri dipenuhi.