KOTA KINABALU, SABAH – Sabah menunjukkan penurunan 59 kes COVID-19 kelmarin (Selasa) dengan jumlah 239 KES baharu selain DUA (2) kematian dilaporkan di daerah Sandakan.
Daerah Kota Kinabalu mencatat jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 77 kes dengan pecahan 30 kes daripada Saringan Kluster, 29 kes daripada Saringan Kontak Rapat, lapan (8) kes daripada Saringan Bergejala, enam (6) kes daripada Saringan Bersasar dan empat (4) kes daripada lain-lain saringan.
Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata 102 kes adalah daripada Saringan Kontak Rapat, 59 kes berpunca daripada Saringan Kluster dengan 30 kes daripadanya adalah daripada Kota Kinabalu melalui Kluster Tembok Kota Kinabalu (22) kes, Kluster Agora Borneo tujuh (7) kes dan Kluster KKIP Empat Timur satu (1) kes.
“Kluster Tembok Kota Kinabalu adalah kluster yang berpunca daripada banduan Penjara Kepayan dan Kluster Agora Borneo adalah kluster yang berkaitan dengan kes daripada Pasaraya Bataras, 1Borneo Kota Kinabalu,” jelas beliau.
Sementara itu DUA (2) lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Daerah (PKPD).
“Kawasan ini termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lintas Sibuga di Sandakan dan Kampung Telaga dan Kampung Pituru di Pitas,” katanya.
Pendaftaran penerima vaksin pada hari ini ialah 5,612 individu menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar sebanyak 944,992.
“Setakat hari ini (selasa), 371 suntikan baharu dibuat bagi Fasa 1 Dos 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 64,488 orang…
“Bagi Fasa 1 Dos 2 pula, 38 suntikan baharu dibuat pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 57,143 orang.
“Manakala, bagi Fasa 2 Dos 1 PICK, 7,915 suntikan baharu dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 359,633 orang.
“Bagi Dos 2 Fasa 2 pula, 8,449 suntikan baharu harian dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 254,399 orang,” jelasnya lagi.