KUALA LUMPUR – Pendakwa raya bagi perbicaraan kes pemalsuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony, mahukan yang tertuduh itu hadir pada minggu hadapan meskipun diberikan pengecualian oleh Hakim.
Sumber berita ‘Free Malaysia Today’ memetik Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sebagai berkata, Peter yang merupakan ADUN Melalap boleh hadir ke mahkamah pada 20 September.
“Ini kerana belum ada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari tersebut, manakala dia juga boleh mengecualikan diri (untuk persidangan) pada keesokan harinya kerana Ketua Menteri hanya akan memberikan ucapan…
“Dia boleh kembali menghadiri persidangan pada 22 September dan 23 September setelah kes untuk sesi ini selesai,” katanya.
Wan Shaharuddin berkata lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah mengesahkan sidang DUN dijadualkan pada 21 September hingga 23 September.
“Kami berharap dapat menutup kes pendakwaan pada minggu depan setelah peguam Anthony selesai meneliti semula saksi kami dari Sabah,” katanya kepada FMT.
Wan Shaharuddin mengatakan gesaan itu selepas peguam Peter telah menulis surat kepada Mahkamah untuk menangguhkan perbicaraannya kerana akan terlibat dalam mesyuarat DUN pada 21 September sehingga 23 September.
Sebelum ini, Hakim Makhamah Sesyen Azura Alwi telah menolak permintaan itu tetapi membenarkan Anthony untuk tidak hadir mengikut Seksyen 264 Kanun Prosedur Jenayah kerana diwakili oleh Peguam.
Peter mengatakan dalam suratnya kepada pengadilan minggu lalu bahawa dia harus hadir untuk memberi arahan kepada peguamnya yang akan memeriksa semula ketiga-tiga saksi pendakwaan.
Dia mengatakan penangguhan itu tidak akan menjejaskan kes pendakwaannya.
“Saya tidak berniat untuk menangguhkan perbicaraan tetapi demi keadilan, saya tidak setuju bahawa perbicaraan itu berjalan tanpa kehadiran saya,” katanya.
Sebelum ini Peter merayu untuk perbicaraan itu didengar pada 29 dan 30 September.
Wan Shaharuddin sebelum ini juga telah menyatakan di mahkamah bahawa Peter menggunakan ‘taktik penangguhan’ kerana telah memohon beberapa kali penangguhan sejak didakwa pada bulan Julai 2020.
Dia memberitahu Azura bahawa dia tidak lagi boleh bertoleransi lagi kerana kes itu melibatkan beberapa saksi berusia 70-an yang perlu datang dari Sabah untuk menghadiri prosiding di Kuala Lumpur.
Peter, yang perbicaraannya dimulakan pada bulan April, dituduh menggunakan dokumen palsu sebagai tulen semasa dia menjadi pengarah urusan Asli Jati Engineering Sdn Bhd.

Hal itu dikatakan berkaitan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk membiayai dan menubuhkan pusat latihan teknikal mekanikal dan elektrik melalui rundingan langsung pada bulan Julai 2014.
Peter menjadi Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah ketika Warisan memerintah Kerajaan negeri Sabah dari Mei 2018 hingga 28 September tahun lalu.
Sebelum ini perlantikan Peter turut dibantah oleh aktivis anti rasuah.
Mereka mempertikaikan kenapa Shafie Apdal melantik Peter menjawat jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur di mana hampir kesemua projek pembangunan infrastruktur di Sabah diletakkan bawah kementerian yang diterajui oleh Peter.
Umum mengetahui sebelum ini Peter adalah seorang kontraktor PKK kelas A dan turut terlibat dengan beberapa kes rasuah diantaranya termasuk kes pecah amanah RM15.5 juta membabitkan RISDA.
