Ketegangan AS-China di Laut China Selatan Boleh Ancam Keselamatan Sabah – Masiung

Ketegangan AS-China di Laut China Selatan Boleh Ancam Keselamatan Sabah – Masiung

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketegangan ketenteraan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China di perairan Laut China Selatan berpotensi menggugat keselamatan rentas sempadan, khususnya Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Kelab Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, perkembangan membabitkan dua kuasa besar dunia itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia turut mempunyai implikasi terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau menggesa Wisma Putra mengambil langkah diplomatik termasuk mengadakan rundingan melibatkan AS, China dan Filipina bagi memastikan perairan Laut China Selatan kekal selamat, termasuk sebagai laluan perdagangan serantau.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah pembangunan kemudahan dan penempatan aset ketenteraan oleh Filipina bersama AS di Pulau Balabac, selatan Filipina yang terletak berhampiran Sabah.

Menurutnya, kedudukan Pulau Balabac yang hanya kira-kira 50 kilometer dari Pulau Banggi perlu diberikan perhatian serius terutama dari aspek keselamatan penduduk di pantai utara Sabah.

“Memandangkan operasi ketenteraan berkenaan sangat hampir dengan Sabah, kerajaan Malaysia wajar memberikan perhatian serius dari sudut keselamatan rakyat, terutama di pantai utara Sabah.

“Faktor utama yang perlu diberikan perhatian ialah kehadiran sejumlah besar tentera AS di Pulau Balabac yang berpotensi mencetuskan situasi di luar jangkaan. Harus diingat bahawa sehingga kini, Filipina masih mempunyai tuntutan terhadap Sabah,” katanya.

Menurut Masiung, aktiviti ketenteraan AS dan China di sekitar rantau Borneo juga semakin meningkat dengan kedua-dua kuasa besar itu terus memperkukuh kehadiran tentera serta aset pertahanan masing-masing.

Beliau bimbang perkembangan berkenaan boleh meningkatkan risiko ketegangan di kawasan berhampiran pantai utara Sabah dan tidak menolak kemungkinan sebarang insiden kecil boleh mencetuskan situasi lebih serius.

Masiung berkata, meskipun Malaysia dan Filipina ketika ini mengekalkan hubungan dua hala serta diplomatik yang baik, negara perlu terus berwaspada terhadap sebarang kemungkinan di luar jangkaan.

Katanya, perkembangan di Laut China Selatan perlu terus dipantau dengan teliti berikutan kedudukan Sabah yang berhampiran kawasan terbabit.

Perkembangan ketenteraan di Laut China Selatan ketika ini turut mendapat perhatian negara-negara serantau susulan peningkatan kehadiran aset pertahanan oleh kuasa-kuasa besar di kawasan berkenaan.