KOTA KINABALU: Tiga ketua bahagian Bersatu dari Papar, Kota Marudu dan Putatan mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), sekali gus mencerminkan ketidaktentuan hala tuju PN dan isu perjuangan hak Sabah yang terus diperdebatkan.
Mereka ialah bekas ketua Bersatu Papar, Faisal Julail, bekas ketua Bersatu Kota Marudu, Mohd Faizal Saidi dan bekas ketua Bersatu Putatan, Datuk Azni Mohd Salleh.
Kesemua mereka diterima masuk oleh Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan di Kota Kinabalu pada Khamis.
Azni berkata keputusan Jeffrey keluar GRS untuk memperjuangkan parti tempatan menjadi inspirasi utama.
Menurutnya, parti nasional sering membataskan suara pemimpin Sabah dan mengutamakan kepentingan pusat.
“Kami lebih rela kehilangan kerusi daripada kehilangan perjuangan Sabah untuk Anak Sabah,” katanya, merujuk kepada peluang pencalonan mereka dalam PN yang dilepaskan.
Faisal pula mengaitkan tindakan Jeffrey dengan keberaniannya berdepan tekanan politik termasuk siasatan selepas video tular melibatkan ahli perniagaan, Albert Tei.
“Kami lihat integriti dan keberanian itu. Sabah perlu pemimpin yang tidak takut mempertahankan hak negeri,” katanya.
Mereka turut menyentuh keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hasil 40 peratus Sabah sebagai bukti hak negeri masih dinafikan kerajaan pusat.
Sumber dalaman PN menyatakan tindakan itu berlaku ketika kepimpinan Bersatu semakin bergolak dan keyakinan akar umbi kian terhakis.
Ketiga-tiganya yang mempunyai hampir 70 tahun pengalaman politik secara kolektif menyatakan lebih ramai pemimpin dijangka mengikuti jejak mereka, terutama menjelang PRN Sabah.






