Kit Diagnosis Salmonella Menang iSAS

Kit Diagnosis Salmonella Menang iSAS

0
SHARE
Inovasi
Awang (tiga kiri) dan Normah (tengah) bergambar kenangan bersama ahli pasukan JPVS ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAB – Mempertaruhkan kit pengesanan Salmonella, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) memenangi Anugerah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif kategori Penyampaian Perkhidmatan Inovatif Sektor Awam Sabah 2023.

Ketua Pasukan, Awang Mohd Sagaf berkata, projek inovasi tersebut telah diuji cuba pada 1,000 sampel dalam tempoh setahun lebih dan menambahbaik aktiviti analisis berlandaskan keperluan SAMM ISO 17025:2017.

“Kaedah sebelum ini menggunakan kaedah bakteriologi mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk mendapatkan keputusan tetapi dengan inovasi ini ujian pengesanan Salmonella dapat dibuat dalam masa lebih kurang dua jam.

“Apabila pihak industri menghantar produk berasaskan ayam kepada makmal kami boleh mempercepatkan ujian dan mengurangkan masa menunggu keputusan sekaligus memudahkan urusan eksport,” katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (iSAS), di Menara Kinabalu, pada Rabu.

Menurut beliau, sasaran projek inovasi adalah untuk menghasilkan teknik analisis yang lebih mudah, berkesan dan pantas untuk membantu Unit Bakteriologi tanpa menjejaskan operasi makmal dari segi kewangan, masa ataupun kakitangan.

Ujian Salmonella menyokong Program Kawalan dan Pembasmian Salmonella Unggas Kebangsaan dan Program Pemantauan Hasil Ternakan (Telur, Susu, Daging) di bawah kelolaan Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAVKK).

Sementara itu, Pengarah JPVS, Dr. Normah Yusop berkata penghasilan kit tersebut merupakan pencapaian besar dalam kaedah diagnosis bakteria Salmonella.

“Pencapaian ini akan membuka peluang ujian baharu untuk penyakit lain secara spesifik dan membantu pengesanan peringkat awal.

“Kita berharap kaedah ini dapat ditambah baik dan diaplikasikan untuk pengesanan penyakit lain seperti Rabies, Avian Influenza malah Covid-19 kerana lebih spesifik dan mudah dari masa ke semasa,” tambahnya.

Selain JPVS, dua kumpulan lain juga menerima tempat pertama anugerah inovasi bagi kategori sektor awam negeri iaitu KSTI Digital Space (Penyampaian Perkhidmatan-Kreatif) sementara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menang kategori (Inovasi Sosial-Inovatif).

Bagi kategori sektor awam persekutuan dimenangi Geng ISKI Sekolah Kebangsaan Kimanis (Penyampaian Perkhidmatan Kreatif), Elite Data Harder Universiti Malaysia Sabah (Penyampaian Perkhidmatan Inovatif), Sinergi Komsat Universiti Teknologi Mara Sabah (Penyampaian Perkhidmatan Kreatif) dan PSS Mantap Politeknik Sandakan (Inovasi Sosial Inovatif). — JABATAN PENERANGAN SABAH