Kita Usahakan Ekonomi Anak Muda, Beri Perhatian Jalan-Jalan Pertanian – Jamawi

Kita Usahakan Ekonomi Anak Muda, Beri Perhatian Jalan-Jalan Pertanian – Jamawi

0
SHARE

TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jamawi Jaafar menegaskan komitmennya untuk mengutamakan pembangunan ekonomi anak muda serta penambahbaikan jalan-jalan pertanian di kawasan luar bandar, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, keutamaan itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat tani, pekebun kecil dan nelayan, yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

“Sekarang adalah masa untuk bekerja kepada semua rakyat. Tiada lagi isu siapa sokong siapa atau undi siapa. Fokus kita adalah membantu rakyat keseluruhannya, khususnya di Tenom dan Melalap,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Natal DUN Melalap 2025 di Dewan Datuk Sanggau Jalang, di sini, hari ini.

Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi di Melalap atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mewakili kawasan itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelbagai inisiatif akan digerakkan secara selari bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Kemabong, Rubin Balang, serta Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, bagi memastikan pembangunan di kawasan pedalaman dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Banyak program akan kita laksanakan, terutama di kawasan pedalaman Tenom dan Kemabong. Kita akan bergerak seiring untuk usahakan yang terbaik, bukan sahaja untuk kawasan ini tetapi juga untuk negeri Sabah,” katanya.

Jamawi berkata, antara pendekatan yang akan diperkasakan ialah inisiatif konsep Kebun Dapur, yang disifatkan sebagai wadah kos rendah untuk membuka peluang kepada penduduk kampung terlibat dalam aktiviti pertanian di kawasan rumah masing-masing.

“Saya mahu membuka ruang seluas-luasnya kepada rakyat, khususnya di kampung, untuk terlibat dalam pertanian dengan kos yang minimum. Insya-Allah, inisiatif ini akan dilancarkan awal tahun depan,” katanya.

Beliau turut berharap proses pemuktamadan pengembalian 40 peratus hasil cukai kepada Sabah oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan memberi impak positif kepada petani, penternak, nelayan serta pengusaha industri makanan di negeri ini.

Mengulas mengenai sambutan Krismas, Jamawi berkata perayaan itu membawa mesej sejagat tentang kasih sayang, penerimaan dan kebersamaan, yang amat dekat dengan rakyat Sabah berbilang kaum dan agama.

“Majlis seperti ini bukan sekadar perayaan, tetapi platform untuk mengukuhkan hubungan, saling memahami dan menghargai perbezaan sebagai kekuatan bersama,” katanya.

Pada majlis itu, Jamawi bersama isterinya, Datin Zainatunnisa Ibrahim, turut mengucapkan Selamat Hari Natal 2025 dan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat DUN Melalap.