Kiulu Sasar 60,000 Kedatangan Pelancong Bagi Tahun Ini

Kiulu Sasar 60,000 Kedatangan Pelancong Bagi Tahun Ini

0
SHARE
Datuk Joniston Bangkuai melancarkan tangga hiking Tukad Purak Pakou di Pusat Rekreasi Bambangan Lama...

KIULU, SABAH – Pusat Rekreasi Bambangan Lama (PRBL) merupakan satu lagi destinasi pelancongan luar bandar berpotensi yang menjanjikan pengunjung suasana percutian yang tenang.

Selain menikmati persekitaran semula jadi yang indah, pelawat boleh memilih dan memetik sayur-sayuran dari kebun di bawah jagaan pusat pelancongan berasaskan komuniti itu untuk dimakan secara percuma.

Baru-baru ini, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, melawat tapak eko-pelancongan tersebut di Kampung Bambangan Lama untuk melancarkan bangunan pejabat pendaftaran PRBL dan trail anak tangga batu Tukad Purak Pakou yang baru dinaik taraf.

Datuk Joniston Bangkuai meninjau rumah tumpangan di sepanjang sungai di Pusat Rekreasi Bambangan Lama…

Joniston, yang juga pengerusi Lembanga Pelancongan Sabah, turut melawat sekitar tapak pelancongan itu, termasuk kebun sayur, rumah penginapan di sepanjang sungai, dan kemudahan lain.

“Melihat kepada trend pengembaraan, saya percaya orang ramai teringin untuk menerokai tarikan di luar bandar seperti PRBL, yang merupakan satu lagi lokasi ideal untuk bercuti…

“Apa yang menarik di tempat ini ialah pengunjung boleh melawat kebun sayur berhampiran dan belajar tentang tanaman tempatan daripada penduduk kampung.

Datuk Joniston Bangkuai melawat ladang sayur di Pusat Rekreasi Bambangan Lama…

“Mereka boleh memetik sayur secara percuma dan memasaknya untuk kegunaan sendiri.

“Pengalaman sebeginilah yang kita mahu sediakan kepada para pengunjung, terutamanya pelancong antarabangsa…

Saya berharap komuniti luar bandar akan terus mencari aktiviti unik dan baharu agar dapat memberi sesuatu kelainan kepada pelawat,” kata Joniston.

Datuk Joniston Bangkuai meninjau rumah tumpangan di sepanjang sungai di Pusat Rekreasi Bambangan Lama…

Dalam lawatannya, Joniston turut melancarkan bekalan air graviti baharu di kampung itu, jalan menuju ke tanah perkuburan kampung, dan jalan konkrit menuju ke sebuah gereja.

PRBL adalah antara 63 pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dan pengusaha persendirian di Kiulu yang telah mula beroperasi dalam persediaan mereka untuk menerima pelancong dalam dan luar negara.

Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Mejin Monginggow berkata, mereka menyasarkan untuk menarik kira-kira 60,000 pengunjung tahun ini dengan pembukaan sempadan negara baru-baru ini.

“Bagi tahun 2021, persatuan menganggarkan lebih kurang 40,000 ketibaan pelancong walaupun industri pelancongan luar bandar menghadapi banyak cabaran.

“Apabila sempadan negara dibuka semula, sasaran kami di Kiulu untuk tahun ini tidak terlalu tinggi disebabkan aktiviti pelancongan baru bermula sepenuhnya. Bagaimanapun, kami yakin pelancong antarabangsa akan kembali melawat Kiulu,” katanya.

Mejin berkata daripada 63 pengusaha yang telah membuka tapak pelancongan mereka, lima daripadanya adalah pengusaha baharu.

“Adalah menjadi harapan persatuan agar Kiulu terus menjadi tumpuan pelancong. Selain itu persatuan juga berharap agar kementerian pelancongan akan mengadakan ‘roadshow’ supaya pelancong mendapat maklumat tentang produk yang ada di Kiulu,” katanya.