KKIS Buka Laluan Baharu Kepada Lepasan Tahfiz Kuasai Kemahiran dan Teknologi AI

KKIS Buka Laluan Baharu Kepada Lepasan Tahfiz Kuasai Kemahiran dan Teknologi AI

0
SHARE

KOTA MARUDU: Penubuhan Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS) membuka laluan pendidikan dan kerjaya lebih luas kepada lepasan institusi pondok serta tahfiz menerusi penguasaan kemahiran teknikal, vokasional dan teknologi digital.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan kolej di Pusat Latihan Dakwah USIA–AlBukhary, Kampung Marasinsim itu merupakan usaha tepat pada masanya dan relevan dengan keperluan semasa.

Menurutnya, KKIS memberi peluang kepada pelajar institusi pondok, tahfiz dan pendidikan Islam di Sabah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran.

“Pelajar tahfiz sudah mempunyai asas agama, hafazan dan nilai akhlak yang baik. Namun, dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar, mereka juga perlu diberikan kemahiran teknikal supaya mempunyai peluang pendidikan dan kerjaya yang lebih luas.

“Kita mahu menggabungkan ilmu Islam dengan kemahiran teknikal dan vokasional supaya lepasan pondok dan tahfiz bukan sahaja mempunyai ilmu agama, tetapi turut menguasai kemahiran yang diperlukan industri serta pasaran pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, pada Majlis Perasmian KKIS di Pusat Latihan Dakwah USIA–AlBukhary, di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata, kerajaan negeri mahu memastikan semua anak Sabah, termasuk lepasan pondok dan tahfiz, mempunyai laluan pendidikan serta latihan kemahiran yang jelas.

Katanya, mereka juga perlu berupaya menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, khususnya bagi menghadapi cabaran masa depan termasuk kemajuan kecerdasan buatan (AI).

Dalam pada itu, beliau mahu kerjasama strategik antara Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) terus diperkukuh bagi membangunkan KKIS sebagai institusi kemahiran Islam yang berkualiti dan berdaya saing.

“Kita amat menghargai perkongsian kepakaran, teknologi, pengalaman serta jaringan pendidikan yang dibawa IKDAR dalam pembangunan KKIS.

“Usaha ini memberikan nilai tambah kepada golongan muda Islam supaya mereka bukan sahaja mantap dalam ilmu agama, malah berdaya saing dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus menyokong USIA dan badan bukan kerajaan lain dalam melaksanakan inisiatif yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Hajiji turut berharap KKIS memperluas program kemahiran, memperkukuh kerjasama dengan industri serta meningkatkan penguasaan AI dan teknologi digital dalam kalangan pelajarnya.

“Kita mahu melahirkan graduan yang kukuh nilai agamanya, tinggi kemahirannya dan bersedia menghadapi masa hadapan.

“Hari ini, kita dapat menyaksikan hasil komitmen berkenaan apabila bangunan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya serta diberikan nafas baharu menerusi penubuhan KKIS.

“Saya berharap kolej ini terus menjadi pusat pendidikan, pembangunan modal insan dan pemerkasaan ummah di Sabah,” katanya.