KKTP Kuatkuasa Dua Undang-Undang Kecil Baharu, Tingkat Hasil PBT

KKTP Kuatkuasa Dua Undang-Undang Kecil Baharu, Tingkat Hasil PBT

0
SHARE
Joachim (tengah) menerima cendera. kenangan daripada Dr. Jamili, turut menyaksikan penyerahan itu ialah Faridah (kiri).

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) bakal menguatkuasakan dua undang-undang kecil baharu bagi memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), selain membantu meningkatkan hasil PBT.

Menterinya, Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, dua undang-undang kecil baharu tersebut adalah Uniform Food Establishment By Laws 2022 dan Uniform (Licencing The Use Of Premises For Trade, Business, Industry and Profession) By-Laws, 2022. (Undang-undang Kecil Penubuhan Makanan Seragam 2022 dan Undang-undang Kecil Seragam (Pelesenan Penggunaan Premis Untuk Perdagangan, Perniagaan, Industri dan Profesion), 2022).

“Kedua-dua undang-undang kecil ini akan melesenkan hampir 90 peratus perniagaan yang dijalankan di daerah masing-masing.

“Adalah dijangka pendapatan PBT akan dapat ditingkatkan dengan penguatkuasaan sepenuhnya undang-undang kecil baharu ini nanti. Ini adalah penting bagi memastikan kelangsungan pengoperasian semua PBT di Sabah,” katanya ketika melancarkan buku Garis Panduan Permohonan Lesen Di Bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.

Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, KKTP bersama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan dengan usaha bersama semua PBT telah menerbitkan Garis Panduan bagi Permohonan Lesen dibawah Undang-Undang Kecil PBT ini bagi menjamin kelancaran proses pengeluaran lesen.

Berharap Garis Panduan ini dapat dijadikan sumber rujukan dalam mempercepatkan lagi pengeluaran lesen di daerah nanti, beliau berkata, dalam era digital pada masa kini, penggunaan sistem teknologi perlu dimanfaatkan sebagai usaha untuk mempercepakan dan meningkatkan kadar produktiviti dalam konteks pengeluaran lesen kepada golongan peniaga.

“Kementerian berharap penggunaan Garis Panduan ini akan dapat mengurangkan jumlah hari pengeluaran lesen selain meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengeluaran lesen oleh semua PBT,” katanya.

Bengkel Pemakaian Undang-Undang Kecil Baharu dan Taklimat berhubung Garis Panduan tersebut turut diadakan selama dua hari oleh KKTP untuk semua PBT di Sabah.

Joachim amat berharap semua peserta yang telah mengikuti bengkel tersebut akan memanfaatkan semua informasi dan juga ‘sharing of knowledge’ yang telah disampaikan oleh para pegawai Kementerian.

“Walau bagaimanapun, kami di Kementerian sentiasa terbuka untuk sesi perbincangan dalam menambaik lagi proses sedia ada.

“Garis Panduan ini ‘is a living document’ yang mana kita boleh melaksanakan perubahan dari semasa ke semasa. Penambahbaikan peraturan sedia ada boleh dibuat berdasarkan peredaran semasa yang boleh membawa kepada peningkatan produktiviti organisasi,” tegasnya.

Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada MPC atas initiatif bersama Kementerian dalam menghasilkan Garis Panduan yang akan diguna pakai oleh semua PBT, serta kepada team Kementerian, Pejabat Peguam Besar Negeri, Pegawai Undang-Undang Majlis Perbandaran Sandakan dan Majlis Perbandaran Tawau dan semua PBT yang terlibat dalam penyediaan undang-undang kecil serta penyediaan Garis Panduan ini.

“Saya difahamkan penyediaan dokumen-dokumen penting ini mengambil masa lebih setahun yang melibatkan beberapa siri bengkel, mesyuarat dan perbincangan yang diadakan secara bersemuka dan juga secara dalam talian. Ini memberi indikator bahawa kita semua amat serius dalam memastikan keteraturan dalam proses dan prosedur yang diguna pakai,” ujarnya.

Joachim juga mengingatkan semua warga Kementerian dan PBT agar sentiasa memberi penekanan kepada memperbaiki sistem sedia ada.

“Pewartaan undang-undang kecil serta penyediaan Garis Panduan ini merupakan antara inisiatif Kementerian untuk memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan PBT serta membantu meningkatkan hasil PBT.

“Saya percaya kita boleh usahakan lebih lagi dalam memperkasakan PBT di Sabah,” katanya.