KUALA LUMPUR: Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan pada 20 Februari lalu, bukan satu kod etika baharu, sebaliknya penambahbaikan yang dibuat selari dengan perubahan industri media digital masa kini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kod etika tersebut merupakan penambahbaikan kepada Etika Kewartawanan Malaysia 1989 yang diterbitkan oleh Institut Akhbar Malaysia yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia Press Institue (MPI), lapor Sinar Harian.
“Untuk makluman, Kod Etika Wartawan Malaysia ini akan diguna pakai oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sebagai sumber rujukan dan panduan dalam pengeluaran serta penarikbalikan Kad Perakuan Media (KPM) untuk pengamal media di Malaysia,” katanya dalam sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengekang hak bersuara khususnya bagi para wartawan dalam menjalankan tugas dan membuat laporan susulan pelancaran kod tersebut.
“Kebebasan media itu menjadi salah satu daripada teras utama yang perlu disokong, malah dimakmurkan lagi oleh semua pihak.
“Dulu saya juga merupakan antara Ahli Parlimen yang pernah memperjuangkan nasib para wartawan. Saya pernah dicemuh dalam Dewan Rakyat yang mulia ini kerana mempertahankan hak wartawan dalam membuat laporan,” katanya.
Ujar beliau lagi, sepanjang memegang jawatan selaku menteri, tidak ada wartawan yang ditahan atau disoal siasat kerana menjalankan tugas mereka.
“Alhamdulillah sejak saya memegang portfolio ini tidak ada seorang pun wartawan yang telah ditangkap, diheret ke mahkamah atau disoal siasat setakat ini kerana membuat pelaporan atau menerbitkan fitnah yang menceritakan tentang skandal, tidak ada setakat ini, katanya.