
KOTA KINABALU, SABAH – Lapan etika dalam Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini berupaya meningkatkan lagi kefahaman sekaligus mengangkat kredibiliti para pengamal media.
Menurut Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa, kod etika yang telah dikemas kini itu merupakan garis panduan kepada para pengamal media untuk mengadaptasi tugas mereka dengan perkembangan teknologi semasa.
“Etika Kewartawanan Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 1989 dan pengemaskinian kod etika ini adalah wajar dan sebagai peneraju media di Sabah kita menyambut baik.
“Kod yang dikemaskini ini seiring perkembangan teknologi semasa dan kita yakin dapat meningkatkan lagi kefahaman wartawan mengenai undang, akta dan polisi berkaitan tugas mereka.
“Lapan etika ini pastinya memberi impak besar kepada semua wartawan antaranya memberi maklumat sahih dan tidak menyebelahi mana-mana pihak supaya laporan tersebut mempunyai kredibiliti dan paling penting ia diyakini rakyat,” jelasnya.
Mengulas lanjut ujar Supian, pengemaskinian kod etika tersebut disifatkan sebagai usaha mengangkat martabat dan kredibiliti pengamal media di negara ini.
Tambahnya, kod etika kewartawanan juga berkait rapat dengan kad akreditasi yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) kepada pengamal media yang berdaftar dan diperakukan oleh kerajaan secara rasmi.
“Sejak diperkenalkan oleh Malaysian Press Institute pada tahun 1989, etika tersebut menjadi asas dan rujukan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dalam menguruskan pengeluaran Kad Perakuan Media (KPM).
“Dengan pengemaskinian lapan kod etika ini, kerajaan sebenarnya ingin mengangkat martabat pengamal media di negara ini secara keseluruhannya.
“Kepada agensi media yang belum mendaftar dengan JaPen, kita mengalu-alukan mereka untuk berbuat demikian kerana kita mahu melahirkan golongan media yang bertanggungjawab dan beretika dalam setiap perincian laporan mereka di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen Sabah, Peter Tong Ah Pin memaklumkan setakat ini Sabah merekodkan 24 agensi media berdaftar dan beliau berharap lapan kod etika yang dikemas kini itu dipatuhi oleh semua pengamal media. — JABATAN PENERANGAN SABAH