TUARAN, SABAH – Komuniti Madani merupakan medium untuk menyebarkan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, penyampaian maklumat yang sahih kepada masyarakat adalah penting dalam mengekang maklumat dan berita palsu.
“Komuniti Madani di Parlimen Tuaran perlu sentiasa kemas kini dengan penyampaian maklumat dan sentiasa dapatkan maklumat yang sahih dan tepat kerana mereka yang diharapkan dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat.
“Setiap Komuniti Madani di daerah ini saya harap mereka dapat memberi maklum balas sekiranya ada maklumat yang bercanggah dengan konsep madani itu atau termasuklah pelaksanaan rukun negara dan yang penting adalah penghayatan.
“Program ini adalah satu pelancaran kepada 12 Komuniti Madani yang ada di Tuaran dan satu pembaharuan kerana saya difahamkan kali ini komuniti madani ini berbeza dengan yang
dahulu di mana lebih banyak penglibatan daripada masyarakat, agensi kerajaan, NGO dan sebagainya.
“Pada masa yang sama Komuniti Madani ini dapat memenuhi jangkaan dimana Madani ini adalah satu falsafah, satu konsep untuk menghormati kemanusiaan, keharmonian dan sebagainya dan agar kita dapat hayati bersama.
“Selaras dengan penubuhan Komuniti Madani ini di harapkan semua pihak tidak kira agensi kerajaan atau swasta sewajarnya mengambil pendekatan menjadikan komuniti setiap kawasan sebagai rakan strategik kerana mereka adalah medium terbaik menyebarkan mesej dan kegiatan organisasi secara tidak langsung mengukuhkan semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan masyarakat seiring dengan semangat Malaysia Madani,” katanya kepada media selepas merasmikan Program JIWA Komuniti Madani peringkat Parlimen Tuaran di Dewan Kiulu, pada Rabu.
Dalam majlis tersebut turut diadakan pelbagai program dan persembahan antaranya pameran agensi, jualan rahmah, pertandingan Bintang Komuniti Madani, persembahan PENTARAMA JaPen Sabah dan kuiz patriotik.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tuggiging, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Leprus Ensuvas Giswa, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hanavey. W Harry dan wakil Ketua Polis Daerah Tuaran, ASP Michael Gabrel. — JABATAN PENERANGAN SABAH