
KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) menyasarkan kutipan tambahan saham sehingga RM2.5 juta dalam kalangan anggotanya bagi membuka peluang perniagaan baharu, selain merancang pembinaan sebuah bangunan baharu di pusat bandar raya Kota Kinabalu.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah, Awg Ruslli Mohammad berkata, kempen penambahan saham itu dibuka kepada semua anggota KOPEKS sehingga jumlah sasaran RM2.5 juta dicapai.
Menurutnya, dana tambahan berkenaan dijangka memperkukuh kedudukan KOPEKS dan membolehkan koperasi itu meneroka peluang perniagaan baharu dalam bidang yang lebih mencabar.
“Untuk tambahan saham, kita akan buka kepada semua anggota KOPEKS sehinggalah jumlahnya mencapai RM2.5 juta. Jika sekiranya pada bulan Ogos ini kita sudah mencapai RM2.5 juta, kita akan tutup.
“Kita menyediakan hadiah-hadiah menarik daripada KOPEKS, pertamanya kita ada cabutan bertuah untuk sebuah kereta, motosikal dan juga barangan elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Ulang Tahun KOPEKS ke-63 dan pelancaran beberapa program utama KOPEKS, di sini, hari ini.
Awg Ruslli berkata, kempen berkenaan mendapat permulaan positif apabila tambahan saham yang dikumpulkan setakat ini sudah mencecah RM73,000.
Katanya, terdapat anggota yang membuat tambahan saham sehingga RM31,000.
“Ini satu angka yang cukup baik untuk KOPEKS memulakan kempen ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Awg Ruslli berkata, SKM akan membantu KOPEKS merancang pelaksanaan pembinaan sebuah bangunan ikonik baharu di atas kawasan tanah Sembulan seluas satu ekar yang merupakan bekas tapak bangunan Sabah Times.
Menurutnya, SKM memberikan sokongan penuh terhadap perancangan KOPEKS untuk membangunkan bangunan berkenaan sebagai sebuah bangunan ikonik di pusat bandar raya Kota Kinabalu.
“Dalam masa yang sama, KOPEKS juga akan dibantu oleh SKM dalam merancang pelaksanaan satu bangunan baru yang akan dibina di atas kawasan seluas satu ekar, bekas tapak pejabat Sabah Times.
“SKM menyokong penuh untuk KOPEKS membina bangunan ikonik di pusat bandar raya Kota Kinabalu ini,” katanya.
Sementara itu, sempena ulang tahun KOPEKS ke-63, Awg Ruslli berkata, koperasi berkenaan perlu mula memberi perhatian kepada usaha melahirkan barisan pelapis dalam kalangan generasi muda bagi memastikan kesinambungan kepimpinan pada masa hadapan.
Beliau berkata, KOPEKS ketika ini mempunyai 5,939 anggota dan jumlah itu merupakan asas kukuh untuk koperasi berkenaan meneruskan agenda pembangunannya.
Katanya, KOPEKS mempunyai potensi besar dan sudah merancang beberapa aktiviti baharu untuk dilaksanakan tahun ini.
“KOPEKS sudah berumur 63 tahun dan di peringkat saya, saya meminta Datuk Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr Saat Ag Damit untuk kita mencari anak muda kita sebagai pelapis kepimpinan di KOPEKS.
“Dalam masa yang sama, kita perlu mencari anggota-anggota yang baru untuk menerajui KOPEKS pada masa hadapan,” katanya.
Awg Ruslli berkata, kewujudan KOPEKS selama lebih enam dekad turut menjadi kebanggaan kepada kakitangan kerajaan di Sabah yang menjadi anggotanya, selain memainkan peranan membantu anggota dan masyarakat.
Menurutnya, KOPEKS turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), menyalurkan bantuan kepada masyarakat serta menyampaikan zakat kepada Majlis Ugama Islam.
Pada majlis sama, KOPEKS turut melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan yang berlangsung bermula Ogos sehingga 16 September.
Awg Ruslli berkata, KOPEKS merupakan koperasi pertama di Sabah yang melancarkan gerakan sambutan Bulan Kemerdekaan bagi tempoh berkenaan.
Majlis berkenaan menyaksikan tiga program dilancarkan serentak iaitu Kempen Tambahan Saham anggota KOPEKS, sambutan Ulang Tahun KOPEKS ke-63 dan sambutan Bulan Kemerdekaan.





