KOTA KINABALU, SABAH – Daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan kembali sebagai SATU DAERAH setelah Sabah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menurut Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Kedua PPN negeri Sabah yang baharu dikeluarkan kelmarin (Jumaat).
Namun begitu aktiviti RENTAS DAERAH masih belum dibenarkan kecuali atas urusan kecemasan iaitu perubatan atau kematian, pekerjaan, temu janji vaksinasi COVID-19 dan perkhidmatan perlu.
Laluan keluar masuk rentas daerah akan terus ditutup dan dikawal pihak polis.
Semua premis sektor perniagaan yang dibenarkan (perkhidmatan perlu) dalam Fasa 2 PPN kini boleh beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 8 malam. Ini termasuk sektor peruncitan iaitu pusat membeli belah, kedai runcit, premis makan dan sektor perkilangan.
Masih DUA (2) orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar hanya untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas dan maksimum TIGA (3) orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan.
Kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan untuk berada di premis perniagaan atau tempat kemudahan awam kecuali perubatan, pendidikan, kecemasan dan senaman manakala individu berumur melebihi 70 tahun adalah tidak digalakkan.
Semua jenis sekolah, Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam mahupun Swasta, Institut Latihan Kemahiran, pusat tahfiz, kekal ditutup kecuali pusat jagaan kanak-kanak jika kedua-dua ibu bapa atau penjaga merupakan petugas barisan hadapan atau perkhidmatan perlu dengan kebenaran beroperasi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah dan Agensi berkaitan.
IPT di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi diteruskan secara dalam talian (online) dan pembelajaran secara bersemuka hanya bagi kumpulan yang perlu sahaja.
Pelajar yang berada di sekolah berasrama, universiti atau institusi dibenarkan untuk kekal berada di sekolah tersebut dan meneruskan pembelajaran secara hibrid.
Institut Latihan Memandu dan Pusat Latihan Maritim tidak dibenarkan beroperasi.
Majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis sambutan perayaan, majlis meraikan pernikahan atau pertunangan, majlis perkahwinan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion, retreat dan lain-lain majlis sosial masih dilarang.
Aktiviti di masjid dan surau dibenarkan semula tertakluk kepada ketetapan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri Sabah manakala upacara akad nikah terhad lapan (8) orang di Pejabat Agama dan pengebumian 12 orang sahaja.
Aktiviti di Rumah Ibadat Bukan Islam turut dibenarkan dengan had kehadiran tidak melebihi 12 orang AJK rumah ibadat dalam satu masa. Upacara pemberkatan perkahwinan bukan Islam pun dibenarkan dengan had kehadiran 12 orang sahaja. Pengebumian sama terhad kepada 12 orang sahaja.
Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu tidak bersentuhan fizikal dibenarkan. Ini terhad kepada jogging, senaman, taichi, memancing, berbasikal, golf (satu orang satu buggy), ekuestrian, memanah, tenis (single), sukan menembak, permotoran dan lain-lain di kawasan terbuka bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri dan bukan untuk tujuan pertandingan dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 hingga 3 meter.
Kerajaan membenarkan aktiviti senaman persendirian tersebut dilakukan dalam lingkungan 10km dari kediaman bermula 6.00 pagi sehingga 7.00 malam.
Sementara itu aktiviti berkelah adalah tidak dibenarkan. Ini termasuklah aktiviti riadah yang dijalankan secara berkumpulan atau melibatkan sentuhan fizikal (semua jenis aktiviti pelancongan).
Bagi sektor awam negeri, hanya 30 peratus (30%) jumlah kakitangan dibenarkan bertugas di premis manakala 70 peratus (70%) kakitangan lain harus Bekerja Dari Rumah (BDR).
Hal ini sebaliknya bagi Sektor Swasta di mana 80 peratus (80%) jumlah kakitangan dibenarkan bertugas di premis termasuk di bahagian pengoperasian manakala 20 peratus (20%) jumlah kakitangan Bekerja Dari Rumah (BDR);
Perkhidmatan pengangkutan awam dalam daerah yang sama adalah dibenarkan dari jam 5.00 pagi hingga 10.00 malam dengan pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan tersebut serta pemakaian pelitup muka. Ini termasuk perkhidmatan bas henti-henti, teksi dan e-hailing.
Semua individu yang akan masuk ke Sabah (dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan luar negara) melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani ujian RT-PCR COVID-19 dalam tempoh lima (5) hari sebelum perjalanan.
Hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan masuk ke Sabah dan perlu menjalani kuarantin 14 hari mengikut ketetapan Kerajaan Negeri Sabah.
Pergerakan keluar masuk orang awam antara Sabah dan Labuan adalah tidak dibenarkan dan permohonan kebenaran bagi pasangan jarak jauh untuk pergerakan masuk dan keluar negeri Sabah tidak akan dipertimbangkan.