KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar, mengarahkan Korporasi Pembangunan Desa (KPD) supaya kekal komited melaksanakan projek-projek berimpak tinggi yang menyumbang secara langsung kepada pengeluaran makanan dan jaminan keselamatan makanan negeri.
Beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada projek yang memberi manfaat terus kepada masyarakat tani luar bandar, khususnya dalam meningkatkan pendapatan dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Menurutnya, program KPD yang bertunjangkan Program Perladangan Kontrak wajar terus diperkasakan serta diperluaskan, melibatkan lebih ramai kumpulan sasar di kawasan luar bandar.
Jamawi menjelaskan, peserta KPD kini terlibat dalam pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan seperti projek cendawan, ayam pedaging, ayam kampung, lebah madu serta tanaman pomelo yang berpotensi menjana pendapatan tambahan. Aktiviti berkenaan, katanya, perlu dikembangkan dari segi bilangan, kapasiti pengeluaran dan liputan kawasan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi KPD 2025 di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, Likas, malam ini.
Dalam ucapannya, Jamawi menegaskan KPD perlu sentiasa dekat di hati rakyat serta menjadi panduan utama dalam perancangan agensi, dengan penilaian dan penambahbaikan berterusan terhadap program berimpak tinggi.
Menurutnya, lebihan hasil kebun dapur berpotensi dijual dan disalurkan ke lapan Pusat Pengumpulan Hasil Tani KPD (APCC) yang kini beroperasi di Beaufort, Kota Marudu, Keningau, Kundasang, Telupid, Lahad Datu, Tambunan dan Kampung Togudon Moyog, Penampang. Dua lagi APCC di Nabawan dan Tenom dijadualkan beroperasi pada 2026.
Jamawi turut menegaskan kepentingan pembinaan APCC sebagai saluran alternatif pemasaran hasil pertanian, terutama dalam keadaan ekonomi mencabar dan kenaikan kos input.
Beliau mengulangi hala tuju kementerian untuk memperkasakan amalan “kebun dapur” bagi memenuhi keperluan harian keluarga tani, selain menggalakkan penglibatan lebih ramai belia sebagai usahawan pertanian.
Pada majlis itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pengurusan KPD atas pelaksanaan projek melibatkan rakyat serta mengucapkan tahniah atas sumbangan RM1 juta kepada Kerajaan Negeri.






