KPM Perkenalkan Sistem Rekod Markah Berpusat

KPM Perkenalkan Sistem Rekod Markah Berpusat

0
SHARE
Menteri Kanan Pendidikan Malaysia Datuk Dr. Radzi Jidin...

PUTRAJAYA – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pembangunan sistem pelaporan berpusat bagi tujuan merekod markah pentaksiran pelajar sekolah merupakan antara elemen transformasi pendidikan yang bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain mengurangkan beban guru bagi mengelak tugas merekod markah berulang kali, sistem itu turut bertujuan meningkatkan kecekapan sistem KPM agar relevan dengan transformasi digital pada masa ini.

Beliau berkata, ketika ini seseorang guru itu dikehendaki menyalurkan rekod markah pelajar kepada pelbagai pihak termasuk KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Dengan adanya sistem pelaporan berpusat ini, pihak lain yang mahukan rekod markah boleh ‘mengekstrak’ data daripadanya…

“Begitu juga dengan pembinaan jadual waktu sekolah, difahamkan masih ada sekolah yang buat secara manual…

“Jadi KPM akan mewujudkan satu sistem khusus bagi membolehkan pihak sekolah membina jadual waktu sekolah mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya.

Menurut Radzi, KPM komited dalam menjadikan ekosistem pendidikan negara sebagai yang terbaik selain memberikan fokus utama kepada kemenjadian murid secara menyeluruh tanpa bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

“Contohnya, baru-baru ini bekerjasama dengan FGV Holdings Berhad dengan membawa pelajar mendekati flora dan fauna agar mereka faham tentang perubahan iklim dan sebagainya,” katanya dan menambah transformasi pendidikan kementerian meliputi kerjasama rentas agensi kerajaan dan swasta.

Bagi mendekati masyarakat terutamanya golongan ibu bapa agar mereka faham tentang transformasi pendidikan dan dasar KPM, Radzi berkata KPM juga akan mengadakan Hari Terbuka PPD di 142 lokasi seluruh negara pada 26 dan 27 Ogos depan.

Katanya, KPM menerusi sesi perbincangan dan libat urus dengan lebih 20,000 orang termasuk pemimpin masyarakat sehingga kini turut menerima maklum balas positif berkaitan transformasi pendidikan yang giat diaplikasikan.

Antara insiaitif KPM mengorak langkah ke depan transformasi pendidikan meliputi pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi memastikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dapat dilaksanakan dengan berkesan selain menjaga kebajikan guru dengan memudahcara urusan permohonan pertukaran guru.

Showcase Transformasi Pendidikan merupakan satu daripada pengisian KPM di bawah program ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’ yang diadakan bermula 1 Ogos sehingga 30 September depan di seluruh negara.

Ia antara lain memaparkan inovasi dan pencapaian murid dan guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan pendidikan