KOTA KINABALU, SABAH – Pengamal media berupaya membantu menyebarkan maklumat dan mendapatkan maklum balas keberkesanan dasar-dasar kerajaan daripada golongan sasar.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, dalam konteks Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), pihak media dapat memberikan maklumat lanjut kepada wanita, kanak-kanak, golongan tua, para pesakit dan Orang Kurang Upaya (OKU) tentang cara untuk membantu mereka.
“Terlalu banyak agenda yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh KPMKR melalui pendekatan baharu untuk kumpulan sasaran sedia ada bagi dilaksanakan secara efektif.
“Bagi kami di kementerian, maklumat berkaitan agensi di bawah KPMKR yang mempunyai hubungan rapat dengan rakyat, seperti sektor kesihatan, kesejahteraan dan beberapa bidang keutamaan lain, harus dikongsikan,” katanya semasa Majlis Ramah Mesra Menteri KPMKR Bersama Media, pada Jumaat malam.
Beliau turut menjelaskan media massa adalah alat atau instrumen terpenting yang digunakan untuk menyampaikan maklumat, membina persepsi dan tanggapan serta membentuk sikap masyarakat tentang maklumat yang disampaikan.
“Kekurangan pengetahuan yang sahih mengenai fungsi media massa sebagai pencorak sosio-budaya serta maklumat mengenai kesamarataan hak-hak golongan berkeperluan khas yang ada menyebabkan kesukaran mengidentifikasikan proses pemahaman, penilaian serta pembentukan tingkah laku di dalam masyarakat.
“Oleh kerana itu, kita harus bertindak membantu mengatasi kekurangan maklumat dan pengetahuan masyarakat mengenai kesamarataan hak dalam kalangan golongan sasar di Malaysia dari perspektif media dan masyarakat,” ujarnya dalam majlis yang dihadiri seramai 68 pengamal media tersebut. — JABATAN PENERANGAN SABAH