KPMKR Terus Perkasa Wanita Sabah

KPMKR Terus Perkasa Wanita Sabah

0
SHARE
Flovia
Tarsiah (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Flovia (dua dari kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Wanita di Sabah akan terus diperkasakan melalui pelbagai program pembangunan wanita.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata tenaga kerja wanita adalah aset yang mampu menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara.

“Laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia Jun 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita negara ketika ini berada pada kadar 56.3 peratus, jauh berbeza dengan lelaki iaitu 82.9 peratus.

“Melihat data dan situasi tersebut, peningkatan dan keterlibatan kaum wanita amat diperlukan untuk bergerak maju ke hadapan,” katanya semasa Majlis Rahmah Mesra Aidilfitri 1445H Jabatan hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) Dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) 2024 baru-baru ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.

James turut menyatakan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui JHEWA dan MPWS akan sentiasa merancang dan melaksanakan program-program pembangunan bagi memastikan wanita di Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serta kemajuan.

“Setiap yang diusahakan bagi pembangunan wanita ini akan lebih cepat mencapai matlamatnya melalui kerjasama yang erat dalam kalangan rakan strategik seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media yang menyalurkan maklumat program serta perkhidmatan agensi kerajaan.

“Kementerian sangat menggalakkan program-program kolaborasi bersama dengan agensi-agensi luar dan NGO kerana dapat memperkasakan lagi komuniti sama ada di bandar mahupun luar bandar.

“Pada masa sama, boleh membantu bagi menyumbangkan idea dan pendapat dalam proses menyelesaikan isu serta merancang pelan tindakan yang wajar diberikan fokus demi memastikan segala aspek yang bersangkut paut dengan pemerkasaan wanita di Sabah diambilkira,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi MPWS, Datuk Tarsiah Tz Taman dan Pengarah JHEWA, Haslina Ismail. — JABATAN PENERANGAN SABAH