SANDAKAN: Dua unit kren dari Pelabuhan Tawau dipindahkan ke Pelabuhan Sandakan sebagai langkah sementara bagi meningkatkan kapasiti pengendalian kargo susulan masalah kerosakan kren sedia ada yang kerap berlaku.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu dilaksanakan Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) sementara menunggu pelaksanaan rancangan perolehan aset jentera baharu.
“Sabah Ports selaku syarikat konsesi pengendali pelabuhan telah membentangkan beberapa inisiatif yang dilaksanakan setakat ini, termasuk perancangan perolehan aset jentera baharu bagi meningkatkan kapasiti operasi pelabuhan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama agensi kawal selia, pengendali pelabuhan dan persatuan pengguna bagi membincangkan isu operasi Pelabuhan Sandakan.
Menurutnya, selain kerosakan kren, masalah laluan kapal laut yang cetek turut menjadi antara isu utama yang dibincangkan.
Katanya, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dan SEDCO Mining turut meneliti kerja pengorekan atau pendalaman kawasan perairan berhampiran Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan yang menjadi laluan kapal.
Ewon turut bersetuju supaya sesi libat urus diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap suku tahun bagi memastikan semua pihak berkepentingan mendapat maklumat terkini mengenai usaha penambahbaikan operasi pelabuhan.
Sesi berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong serta wakil agensi kerajaan, pengendali pelabuhan dan persatuan berkaitan industri logistik serta perdagangan.






