Lapan Cedera, Lima Parah, Bezza Buat U-Turn Sebelum Bertembung D-Max dan Motosikal

Lapan Cedera, Lima Parah, Bezza Buat U-Turn Sebelum Bertembung D-Max dan Motosikal

0
SHARE

PAPAR: Lapan lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun cedera, lima daripadanya parah, dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza, Isuzu D-Max dan motosikal di Jalan Andus, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PKPgB Rony Sikawan berkata, berdasarkan maklumat awal, kemalangan berlaku ketika Perodua Bezza berkenaan membuat pusingan U sebelum bertembung dengan dua kenderaan lain.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah dan BBP Papar menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 7.24 pagi.

“Sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 7.38 pagi.

“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah Perodua Bezza, Isuzu D-Max dan sebuah motosikal dengan keseluruhan lapan mangsa terlibat,” katanya.

Menurutnya, empat lelaki berusia 36, 48, 27 dan 15 tahun yang menaiki Perodua Bezza mengalami kecederaan parah.

Seorang lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal turut cedera parah, manakala tiga lelaki berusia 50, 36 dan 39 tahun yang menaiki Isuzu D-Max mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua lapan mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan EMRS Bomba serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Operasi diketuai PBK I Dahlan Jainudin dengan bantuan KKM, APM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi ditamatkan pada jam 8.13 pagi selepas pemeriksaan dilakukan dan pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.