RANAU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menyeru kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung agar segera melaporkan kejadian banjir atau tanah runtuh kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Ranau untuk tindakan susulan.
Beliau membuat seruan selepas mendengar satu taklimat mengenai tindakan yang telah diambil dan kawasan yang terlibat dengan bencana yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Samsir hari ini.
Dalam taklimat berkenaan juga, Dr. Joachim dimaklumkan bahawa Daerah Ranau banyak mengalami kerosakan infrastruktur iaitu jalan raya terputus, tanah runtuh dan jambatan gantung terputus.

Dr. Joachim mengucapkan terima kasih kepada semua usaha yang dilakukan oleh semua agensi kerajaan yang terdiri daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Ranau, Jabatan Kebajikan, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta semua yang terlibat dengan PKOB Ranau, yang diketuai oleh Syahrin Samsir.
Turut hadir pada sesi taklimat berkenaan ini ialah Jurutera Daerah Ranau, Mac Glen F.L; Penolong Pegawai Daerah, Florensia Pandasia; Pegawai Jabatan Kebajikan, Abdul Himad; Setiausaha Politik dan Setiausaha Sulit kepada Dr. Joachim, Yubidi Gumpoyo dan Japli Sami; Pegawai Pemimpin Masyarakat, Dounis Sani; ASP Helvin Ribus serta beberapa lagi kakitangan kerajaan.

Dr. Joachim difahamkan pejabat PKOB Daerah Ranau ada menerima laporan palsu dan tidak sahih.
“Oleh itu, saya berharap orang ramai tidak berbuat demikian kerana ia akan menganggu kelancaran kerja pihak berkuasa,” tegasnya.
Dr. Joachim juga turut menyumbangkan sedikit sumbangan bagi menampung keperluan para petugas PKOB.
Pada Ahad, terdapat beberapa kawasan dalam DUN Kundasang yang terbabit dengan kejadian tanah runtuh, jalan terputus dan banyak rumah kediaman penduduk musnah akibat banjir.
Antara jalan yang terjejas ialah Jalan Malinsau-Kaingaran, Jalan Tibabar-Lobou Kenip, Jalan Tumbalang, Jalan Takutan Perancangan, Jalan Kawiyan dan Jalan Kundasang-Ranau
Berikutan dengan hujan yang berterusan, terdapat seorang mangsa banjir terperangkap di Sg. Mokodou yang hanya dapat diselamatkan selepas 36 jam.
Menurut dakwaaan yang menyatakan bahawa tiada yang datang menyelamatkan, sebenarnya tuan OCPD Ranau sendiri telah datang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkenaan.
Walaupun tidak dapat diselamatkan kerana air yang deras, pasukan SAR hanya dapat menyalurkan makanan melalui zip line.
Sepanjang 36 jam itu juga, pihak SAR terus memantau sehinggalah dia berjaya diselamatkan.





