Legasi Keluarga Politik Tidak Jamin Sokongan Rakyat Berterusan – Salleh

Legasi Keluarga Politik Tidak Jamin Sokongan Rakyat Berterusan – Salleh

0
SHARE

KOTA KINABALU: Legasi dan pengaruh sesebuah keluarga politik yang diwarisi merentasi beberapa generasi tidak semestinya menjamin keupayaan pemimpin baharu mengekalkan keyakinan serta sokongan rakyat.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, meskipun sesebuah keluarga politik mampu mewariskan nama, jaringan pengaruh dan penyokong setia, karisma serta kebolehan memimpin tidak semestinya dapat diwarisi secara automatik.

Katanya, sejarah politik antarabangsa memperlihatkan bagaimana pengaruh keluarga tertentu mampu bertahan selama beberapa generasi, namun kelangsungan sesebuah parti tetap bergantung kepada kekuatan organisasi dan kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

“Sesebuah keluarga politik mungkin mewariskan nama, jaringan pengaruh dan penyokong setia. Namun, karisma, kebolehan memimpin dan keyakinan rakyat tidak semestinya dapat diwarisi secara automatik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Salleh berkata, antara contoh politik dinasti ialah keluarga Nehru-Gandhi yang kekal berpengaruh dalam Parti Kongres India serta keluarga Bhutto yang memainkan peranan penting dalam Parti Rakyat Pakistan.

Beliau turut merujuk legasi politik Sheikh Mujibur Rahman yang diteruskan anak perempuannya, Sheikh Hasina, melalui Liga Awami di Bangladesh, selain keluarga Marcos yang mengekalkan pengaruh politik di Filipina.

Menurutnya, fenomena itu menggambarkan konsep dynastic politics atau politik dinasti yang memperlihatkan pengaruh keluarga dalam kepimpinan dan sokongan politik.

Bagaimanapun, Salleh menjelaskan kesetiaan terhadap seseorang pemimpin berbeza daripada kesetiaan kepada institusi parti, khususnya apabila pemimpin karismatik bersara atau meninggal dunia.

Beliau berkata, ahli sosiologi Max Weber memperkenalkan konsep charismatic authority atau kewibawaan karismatik, yang menjelaskan bagaimana keistimewaan peribadi seseorang pemimpin mampu membina kesetiaan dan menggerakkan perjuangan politik.

Katanya, keadaan itu turut dapat dilihat melalui gerakan Peronisme yang diasaskan Juan Perón di Argentina dan Chavismo oleh Hugo Chávez di Venezuela, yang terus wujud selepas kematian pengasas masing-masing meskipun mengalami perubahan kepimpinan dan hala tuju politik.

Dalam pada itu, Salleh berkata, perubahan generasi turut mempengaruhi corak sokongan politik apabila golongan muda mungkin lebih mengutamakan peluang ekonomi, tadbir urus yang baik dan dasar yang menjamin masa depan mereka.

Justeru, katanya, ideologi dan sejarah perjuangan semata-mata tidak menjamin kelangsungan sesebuah parti tanpa pembaharuan kepimpinan, dasar serta organisasi.

Beliau turut menekankan kepentingan penginstitusian parti, iaitu pembentukan struktur dan identiti organisasi yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada seseorang pemimpin.

Menurut Salleh, kelangsungan jangka panjang sesebuah parti akhirnya perlu dilihat berdasarkan kekuatan institusi, kejelasan idea perjuangan serta kemampuan melahirkan kepimpinan baharu yang melangkaui pengaruh individu.