Lelaki Cedera, Kembara Dipandu Terjunam ke Gaung 20 Meter di Tawau

Lelaki Cedera, Kembara Dipandu Terjunam ke Gaung 20 Meter di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki berusia 54 tahun cedera selepas kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter dalam kejadian di Simpang 4, Jalan Bukit TV, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.07 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 8.25 malam, didapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang terbabas sendiri dan terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter.

“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 54 tahun yang berjaya dibawa naik ke jalan raya oleh pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi yang melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah jentera EMRS itu ditamatkan pada jam 8.28 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.